Jin

My photo
"يا الله، اكو مموهون كڤد-مو اونتوق منچينتاي-مو، منچينتاي سياڤا سهاج يڠ منچينتاي-مو، سرتا منچينتاي ڤربواتن يڠ مڠهانتركن داكو اونتوق منچينتاي-مو."- نبي داود اس

Seni Menurut Islam

Thursday, June 17, 2010

Assalammualaikum wr wb..


Makna literal:
seni ialah halus, indah atau permai

Istilah:
seni ialah segala yang halus dan indah lagi menyenangkan hati serta perasaan manusia

Dalam pengertian yang lebih padu:
ia membawa nilai halus, indah, baik dan suci ( berguna dan bermanfaat serta mempunyai fungsi dan nilai sosial)

NYANYIAN DAN SENI MUZIK

Nyanyian dan muzik boleh mengubah sikap ke arah pencapaian peradaban yang bererti di samping mempunyai kekuasaan tersendiri hingga boleh menukar emosi menjadi terharu, sedih, pilu, menangis bahkan gila. Ini menunjukkan bahawa nyanyian dan muzik sangat rapat hubungannya dengan jiwa manusia. Oleh itu, ia perlu dikawal dan diberi perhatian supaya tidak merosakkan jiwa dan moral manusia.

Islam dari segi falsafahnya menyatakan nyanyian dan muzik haruslah bertujuan ke arah pembentukan peribadi dan sebagai tali penghubung ke arah taqwa kepada Allah. Islam tidak mengizinkan nyanyian dan muzik yang melalaikan manusia dari kewajiban terhadap Allah. Seni yang merosakkan adalah seni sesat yang hukumnya haram dan patut dijauhi.



PANDANGAN ULAMA’ DAN FATWA BERHUBUNG SENI MUZIK

a) Pandangan Imam al-Ghazali


- tidak terdapat keterangan yang jelas dari sunnah Rasulullah yang melarang penggunaan alat-alat muzik

- sebahagian instrumen muzik yang mempunyai bunyi yang baik tidak dilarang

- seni muzik yang dilarang ialah seni muzik yang berada di dalam keadaan yang bersetongkol dengan kumpulan pemabuk, perzinaan dan perbuatan dosa yang lain

- mendengar lagu itu ada 5 hukum iaitu harus, sunat, wajib, makruh dan haram


Imam al-Ghazali mengklasifikasikan lagu-lagu kepada 7 jenis iaitu :

• Lagu-lagu yang membangkitkan kerinduan untuk menziarahi tempat-tempat suci seperti Mekah dan Madinah

• Lagu yang mengobarkan semangat untuk berjuang mempertahankan aqidah dan negara

• Lagu yang memperihalkan pertarungan dan sikap kelelakian yang pantang mengalah di saat-saat genting

• Lagu yang mengenang peristiwa lampau yang menimbulkan kesedihan yang positif. Mengingatkan diri terhadap hakikat hidup yang sebenar.

• Lagu yang menyifatkan keadaan ketika rela dan sukacita untuk menghargai suasana tersebut dan menikmati kenangannya selama yang mungkin

• Lagu bercorak ghazal yang sopan : memperihalkan kisah cinta dan membayangkan harapan untuk bertemu dan pertautan yang lebih erat di masa yang akan datang

• Lagu yang memperihalkan keagungan sifat-sifat tuhan, memuji serta mentahmidkan kebesarannya


b) Pandangan Imam Shafi’i - Menyatakan bahawa nyanyian itu adalah makruh dan melalaikan di dalam kitabnya, Adab al-Qada’:

- Ia menyamai kebatilan dan sesiapa yang mendengarnya maka dia adalah seorang safih dan penyaksiannya ditolak
- Mendengar nyanyian dari wanita yang bukan mahram tidaklah harus dalam apa jua keadaan samada di tempat terdedah atau di tempat tertutup, samada wanita yang merdeka atau hamba
- Jika tuan kepada hamba abdi wanita mengumpulkan orang ramai agar mendengar nyanyian abdinya itu, maka dia juga seorang safih dan penyaksiannya ditolak
- Memakruhkan penggunaan seruling kerana menurutnya itu adalah perbuatan kaum Zindik untuk memesongkan orang dari mendengar al-Quran


c) Pandangan Imam Malik

- Melarang mendengar nyanyian

- Menyatakan bahawa barangsiapa ingin membeli seorang abdi wanita dan diketahuinya wanita tersebut seorang penyanyi, maka janganlah dibeli wanita tersebut



d) Pandangan Ibn Taimiyyah

- Membezakan antara mendengar nyanyian dan muzik yang bermanfaat pada agama dan antara apa yang diberi pengecualian untuk mengelakkan dosa, dan antara pendengaran muqarrabin dan pendengaran orang-orang biasa

- Diharuskan mereka mendengar apa yang disyariatkan kepada para hamba Allah iaitu mendengar ayat-ayat Allah : dapat membaiki hati dan menyucikan jiwa


e) Pandangan Dr.Yusuf al-Qaradawi

- Membuktikan mengenai hukum seni muzik yang pada asalnya bersifat harus tetapi boleh berubah kepada hukum-hukum lain berdasarkan beberapa syarat iaitu :

• Bukan semua lagu itu harus. Isi kandungannya hendaklah bertepatan dengan kesopanan Islam serta ajarannya. Nyanyian-nyanyian yang menyanjung pemerintah yang zalim, taghut dan fasiq adalah bertentangan dengan ajaran Islam kerana Islam melaknat para pelaku kezaliman dan para pengampunya.

• Cara persembahannya juga mesti diambilkira. Kadangkala tajuk lagunya tidak menjadi masalah tetapi cara penyampaian penyanyinya itu yang boleh menyebabkan hukumnya haram, syubhah atau makruh. Ini termasuklah cara nyanyian yang memberangsangkan ghairah seks para pendengar melalui tema-tema cinta berahi.

• Hendaklah nyanyian itu tidak diiringi dengan perkara yang haram seperti meminum arak, mendedahkan aurat atau bercampur diantara lelaki dan perempuan tanpa batas dan had.

• Seperti perkara-perkara harus yang lain, nyanyian hendaklah tidak dilebih-lebihkan terutama nyanyian yang menyentuh perasaan dan kerinduan yang berlebihan. Sekiranya unsur-unsur yang berlebihan ini tidak dikawal, ianya akan mengabaikan hak akal, rohani dan kehendak seseorang, masyarakat dan agama.

• Sekiranya terdapat unsur nyanyian yang menaikkan nafsu syahwat, mendorong ke arah kejahatan, menjadi lalai dan leka untuk mengerjakan ibadah maka menjadi kewajipan ke atas pendengar untuk menjauhinya, menutup pintu fitnah tersebut demi memelihara dirinya dan agama.


f) Fatwa Sheikh Mahmud Shaltut

- Mendengar dan bermain alat muzik adalah sama hukumnya dengan merasa makanan yang lazat, menghidu bau yang harum, melihat pemandangan yang cantik atau mencapai pengetahuan yang tidak diketahui. Semuanya memberi kesan untuk menenangkan fikiran apabila jasmani penat dan memberi kesan dalam memulihkan semula tenaga.

- Al-Quran yang mendasari segala peraturan dan perundangan yang begitu sempurna adalah bertujuan untuk menjaga supaya tidak berlaku keterlaluan di pihak yang tidak menggunakan muzik dan pihak yang menggunakan muzik secara berlebihan. Apatah lagi Islam menuntut kepada kesederhanaan.

- Fuqaha’ terdahulu telah membenarkan penggunaan seni muzik apabila mempunyai tujuan yang sesuai seperti muzik iringan ke medan perang, haji, perkahwinan dan hari kebesaran Islam. Mengikut fuqaha’ Hanafi, muzik yang dilarang ialah sekiranya bercampur dengan majlis yang terdapat arak, penyanyi perempuan yang mengghairahkan, unsur-unsur fasiq, perzinaan dan berhala.

- Beliau memberi amaran kepada sesiapa yang berani melarang sesuatu perkara yang tidak jelas dilarang oleh Allah.


Perkongsian bersama, sekian..

Wassalammualaikum..

Pilih Yang Mana?

Wednesday, June 16, 2010

Assalammualaikum wr wb...

Agama kita mengajarkan supaya keputusan yang hendak dibuat haruslah melalui istkharah dan istisyarah. Sungguh, tidak lengkap istikharah tanpa istisyarah ataupun sebaliknya. Istikharah tidak dapat berjalan secara tunggal tanpa diapit oleh istisyarah. Di situ ada pergantungan kepada Khaliq dan hubungan dengan makhluq. Menurut para ulama’, jawapan kepada istikharah pula tidak mutlak melalui mimpi semata - mata. Petandanya mungkin saja melalui gerak hati, kecenderungan atau pun dipermudahkan jalan – jalan kepada urusan tersebut. Boleh jadi juga, jawapan istikharah ada pada istisyarah. Perbincangan demi perbincangan akhirnya sampai kepada satu titik jawapan. Pastinya istikharah tidak sekali – kali dikesampingkan kerana istikharah dan istisyarah ibarat irama dan lagu. Jika kurang salah satu, maka pincanglah ia. Istisyarah tanpa istikharah pula seolah – olah kita lebih mengutamakan pendapat makhluq daripada Sang Pencipta. Jelas di situ akan terjadi kepincangan kerana ‘pendapat’ Allah dibelakangkan.

Di Malaysia, pada sesetengah orang, istikharah hanya relevan untuk urusan jodoh sahaja. Istikharah hanya untuk urusan nikah kahwin. Doa istikharah pula wujud dalam pelbagai bentuk dan versi. Ada juga yang saya jumpa berbunyi begini ‘ Ya Allah, andainya dia telah ditetapkan untukku, maka dekatkanlah dia kepadaku, permudahkan urusan Ya Allah.. tapi seandainya dia bukan untukku, bawalah dia jauh dari pandanganku dan tunjukkanlah kelemahan dan keburukannya ‘. Allahu.. rangkap pertama di dalam doa tersebut, InsyaAllah bisa saja diamalkan cuma rangkap yang terakhir, mudah – mudahan bukannya pilihan. Apa perlunya kita meminta supaya Allah membentangkan keburukan dan kelemahannya kepada kita ? Bukankah kelemahan dan aib sendiri lebih banyak untuk diselidiki. Permintaan sebegitu hanya memakan diri, dan kalau pun Allah membuka aibnya di depan mata kita, apa faedahnya? Apa yang kita akan dapat ? Melainkan kita akan terus berburuk sangka dan menganggap ‘aku lebih baik dari dia, dia tidak layak untukku kerana keburukan dan kejelikan – kejelikannya’

Ya Salam… Menganggap orang lain buruk dan kita sahaja yang baik sebenarnya merupakan perangai setan. Oh, bunyinya mungkin agak kasar. Renungkan firman Allah :


“ (Allah) berfirman ‘Apakah yang menghalangimu (sehingga) kamu tidak
bersujud (kepada Adam) ketika Aku menyuruhmu?” (Iblis) menjawab, “Aku lebih baik
daripada dia. Engkau ciptakan aku dari api, sedangkan dia Engkau ciptakan dari
tanah.” ( Al A’raf : 12)


Bahaya kan virus “ Aku lebih baik dari dia ” ? kerana disitu ada bibit – bibit riyak dan takabbur, sifat makhluq penentang Tuhan. Cukuplah kita memohon, ‘andai dia bukan untuk ku, berilah petunjuk Mu ’. Cukup sekadar itu. Mungkin ‘petunjuk’ Nya adalah sukarnya urusan, ataupun calon tersebut tidak dipersetujui oleh ibu bapa kita kerana beberapa faktor lain dan sebagainya. Bukannya meminta agar disingkap segala aib – aibnya. Macamlah kita tidak punya aib…


Allah akan memberikan yang terbaik kepada kita. Itu benar. Seandainya seseorang itu bukan ditaqdirkan untuk kita, maka dia bukannya yang terbaik untuk kita dalam konteks ‘kesesuaian’ dan ‘keserasian’. Kesesuaian dan keserasian itu pula akan berbeza dari seorang individu kepada individu yang lain. Misalnya, Jika dia orang yang beragama, boleh jadi dia bukannya orang yang serasi dan sesuai dengan kita dari sudut fikrah , mungkin tidak sesuai dengan kerjayanya, mungkin cita – cita tidak sama, mungkin, mungkin…. Pelbagai kemungkinan.


Hanya Allah yang tahu.


Apa yang jelas ingin dikatakan disini, jika dia bukannya yang terbaik untuk kita, bukannya bermakna dia orang yang tidak baik atau pun kita lebih baik dari dia. Ukurlah dengan neraca agama. Si dia yang Allah pilih untuk kita adalah orang yang paling serasi dan terbaik untuk kita kerana Allah Maha Mengetahui keadaan dan diri seseorang. Apa yang bukan menjadi pilihan maka janganlah disertakan dengan kebencian, atau pun buruk sangka yang bukan – bukan, kerana sebenarnya apa yang diinginkan dari hidup ini adalah redha Tuhan.

Hakikatnya, pilihan dalam kehidupan akan terus berlaku sehingga hari kiamat. Selagi mana jantung berdenyut, haq dan batil akan terus berlawan. Minta dipilih menjadi teman. Maka di situ pastikan neraca taqwa memainkan peranan. Bagaimanana cermin pandang kita kepada pilihan – pilihan tersebut. Ada individu yang menangisi kematian As Syahid Syeikh Ahmad Yasin, Bapa Intifadha Palestin yang dibunuh dengan kejam di atas kerusi roda. Ada juga yang “memilih” untuk menangis tersedu sedan ketika Mawi tersingkir dalam pusingan Akademi Fantasia sia - sia. Menangis adalah suatu perkara yang biasa, cuma apa dan kenapa yang membuatkan kita “ memilih” untuk menangis, berbalik kepada ‘neraca’ apa yang kita guna, agar air mata kita yang tumpah tidak sia – sia disisi agama.


Dan akhirnya, di akhir perjalanan hidup kita, Pilihannya cuma dua. Tidak ada yang ketiga.

SYURGA atau NERAKA. Pilihan anda... :)


Wassalammualaikum..

Selamat Datang Rejab!

Tuesday, June 15, 2010

Assalammualaikum wr wb..

Salam sejahtera buat sahabat semua yang sentiasa menyinggah di Jin Berbisik. Alhamdulillah, masa berlalu dengan pantas dan membawa kita ke bulan Rejab. Syukur kerana Allah masih memilih kita untuk melalui bulanNya ini yang penuh dengan barakah dan lakaran sejarah tersendiri.

Sama-sama kita perbanyak doa dan zikir:


اَللّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَب وَشَعْبَانَ، وَبَلِّغْنَا شَهْرَ رَمَضَانَ، واَعِنَّا عَلَى الصِّيَامِ وَالْقِيَامِ وَحِفْظِ اللِّسَانِ، وَغَضِّ الْبَصَرِ، وَلاَ تَجْعَلْ حَظَّـنَا مِنْهُ الْجُوعَ وَالْعَطَشَ


Rasulullah Saw juga bersabda: “Bulan Rejab adalah bulan Allah Yang Maha Agung, tidak ada bulan yang menandingi kemuliaan dan keutamaannya. Di dalamnya diharamkan berperang dengan orang-orang kafir, karena bulan Rejab adalah bulan Allah, Sya’ban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan ummatku. Barangsiapa yang berpuasa sehari di dalamnya wajib baginya memperoleh ridha Allah, dijauhkan dari murkanya, dan diselamatkan dari semua pintu neraka.”

Dari segi bahasa : Rejab makna menghormati dan memuliakan.

Dinamakan bulan Rejab kerana orang-orang jahiliyah dahulu menghormati dan memuliakan bulan ini dengan mengharamkan peperangan dalam bulan ini.

Bulan Rejab merupakan salah satu bulan dari 12 bulan-bulan Islam dan ia merupakan salah satu dari 4 bulan ‘Haram’ didalam Islam. Dalilnya terdapat di dalam Firmah Allah swt di dalam Surah Al-Taubah ayat 9 maksudnya : “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati” . Allah swt telah mengurniakan kepada manusia 4 bulan haram. Bulan-bulan ini sebagaimana yg disepakati oleh semua ulama’ ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Umat Islam adalah diharamkan pergi berperang didalam bulan-bulan ini, kecualilah jika mereka diugut.

Bulan Rejab mengandungi peristiwa-peristiwa bersejarah kepada orang Islam di mana berlakunya peperangan Tabuk, pembebasan Al-Aqsa dari tangan tentera Salib dan juga ada orang Islam yang berpendapat bahawa bulan inilah berlakunya peristiwa Isra’ dan Mi’raj Nabi Muhammad saw.

Secara ringkasnya, Israk dan Mikraj adalah sebuah peristiwa di mana Nabi Muhammad S.A.W telah di”israk”kan (dibawa berjalan) dari Kota Mekah ke Baitul Muqaddis serta di”mikraj”kan (dibawa naik ke atas) ke Sidratul Muntaha untuk mengadap Allah S.W.T di mana Solat 5 waktu telah difardukan ke atas umat Islam melalui Rasulullah S.A.W. Semuanya berlaku di dalam satu malam sahaja.

Firman Allah SWT:

“Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya pada satu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” Surah Al Israa ayat 1.

Di sini Jin ingin mengajak sahabat2 terutama umat Islam seluruhnya menyambut bulan ini dengan memperbaharui tekad dan ikrar. Jika sebelum ini kita mengucap Dua Kalimah Syahadah tapi hidup dengan penuh hasad, kemarahan, dendam, benci dan sebagainya, tahun ini kita mengucap Dua Kalimah Syahadah dengan penuh kecintaan kepada Allah. Sebagai hambaNya, yang benar-benar cintakanNya, marilah sama-sama kita memperbanyakkan memuji-muji Allah, amalan dan ibadah. Sekian..

Wassalammualaikum wr wb..

Masam Itu Manis

Thursday, June 10, 2010

Assalammualaikum wr wb...

Cabaran dan dugaan adalah fitrah kehidupan. Adakalanya ombak taufan datang menggoncang hati menghasilkan kegelisahan yang melenyapkan sebuah ketenangan. Hati kita resah, gelisah dengan masalah yang melanda.

Lalu kita menjalani siri-siri kehidupan dengan tekanan sehingga mengukir riak muka masam. Biarpun matahari pagi masih bersinar terang, namun oleh kerana masalah yang membelenggu diri terbina tembok pemisah antara kita dan ketenangan.

Inilah fitrah kehidupan..........

Hidup ini tidak selalunya indah. Walaupun mungkin poket kita dipenuhi dengan wang dan rakan-rakan di sekeliling pinggang, itu semua tidak lagi bermakna andai hati tidak tenang. Ada manusia, apabila diuji dengan secebis kesusahan, ia melenting menghambur kata-kata kesat menyalahkan semua insan serta tuhan. "Apa salah aku sehingga diuji dengan ujian seberat ini?" Mulutnya menzahirkan kebencian. Mengangkat diri ke makam tertinggi.

Firman Allah SWT,

Namun apabila tuhan mengujinya lalu membatasi rezekinya, lalu dia berkata, "Tuhanku telah menghinaku" (Al-Fajr, 16)

Insan itu lupa bahawa alam ini tidak sentiasa cerah. Selimut kegelapan malam pasti terbentang setelah matahari siang memancar terik. Dan begitu juga kehidupan kita. Andai segalanya indah dan mudah pasti kita akan bosan dan tidak merasakan nikmatnya sebuah kelapangan. Dan atas dugaan yang melanda, ramai manusia yang lupa diri, lupa tuhan, lupa akhirat. Tidak puas hati, tidak reda dengan masalah yang berlaku.

Mungkin kerana merasakan diri terlalu mulia dan suci untuk mendapat ujian sebegitu. Dan mulalah ia menyalahkan segalanya, hanya dirinya saja yang berada pada kebenaran. Namun sekiranya difikir-fikir kembali, sehingga bila emosi itu akan menyelesaikan masalah?

Oleh itu kehidupan mengajar kita bahawa 'kita adalah siapa kita'. Sekiranya kita inginkan bahagia, maka kebahagiaan pasti hadir. Sebuah kisah yang dipetik daripada buku "The 7 habits of Highly Effective People" oleh Stephen R. Covey – sebuah kisah tentang seorang banduan di zaman pemerintahan diktator Nazi. Dia seorang lelaki yang menjadi banduan dalam tahanan penyiksaan oleh askar nazi yang kejam.

Setiap hari dia diseksa, dipaksa berkerja keras serta tidak diberi makanan. Berbagai-bagai penyiksaan dikenakan. Namun apa yang pelik adalah dia tidak pernah merungut, bahkan sentiasa tersenyum. Seolah-olah bahagia. Apabila ditanyakan mengapa ia masih bahagia lalu ia menjawab, "Askar nazi telah menguasai jasadku, oleh itu aku takkan serahkan hatiku kepada mereka. Hati ini milik aku dan aku inginkan hati ini sentiasa bahagia".

Begitulah jua kita. Bahagia itu dicipta dan dipelihara. Berhentilah daripada menyalahkan keadaan, takdir serta kesilapan insan. Sebaliknya marilah kita melihat kedalam diri sendiri, mungkin kita yang lupa dan alpa lantas masalah ini tiba. Andainya kehidupan ini sempit, maka bergeraklah kepada tempat yang lebih luas. Biarkanlah apa yang telah terjadi, masalah yang telah berlaku. Andainya sesuatu telah hilang daripada kita, maka ciptalah ia!

Allah telah mengajar kita dalam Quran,

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum sebelum mereka mengubah diri mereka sendiri" (Ar-ra'd, 11)

Ya, kita adalah siapa yang kita ingin jadi. Kuncinya perubahan. Dan perubahan itu bermula dengan berfikiran positif. Sentiasa positif walaupun berlaku apa-apa dugaan. Masam manis kehidupan ini adalah fitrah. Hidup ini ibarat roda, adakalanya kita berada di atas dan kadangkala kita berada di bawah. Masalah itu penyeri kehidupan yang akan menjadikan kita lebih menghargai sebuah ketenangan. Sekiranya manusia menghidangkan limau masam kepada kita, maka buatlah air limau manis yang menyegarkan. :)

Hidup ini indah. Masam itu manis.

Sekian,
Wallahualam...

Berubah Kehidupan


Assalammualaikum wr wb..

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah kini saya kembali lagi menulis di blog JIN BERBISIK yang telah lama ditinggalkan bersawang. Maaf kan saya wahai sahabat sekalian, alhamdulillah kini saya menulis kembali. Mungkin dalam mengubah kehidupan kearah yang lebih baik mencabar masa saya dan masa tidak pernah cukup pada saya. InsyaAllah akan saya teruskan perjuangan ini..

Hidup ini memerlukan perubahan ke arah lebih baik dalam semua keadaan. Kualiti kehidupan, baik yang berkaitan kehidupan di dunia maupun di akhirat, perlu ditingkatkan setiap masa. Sikap mudah berpuas hati dan tidak mahu berusaha lagi perlu dibuang jauh-jauh.

Tuntutan memperbaiki diri meliputi semua perubahan atau pertukaran daripada yang buruk kepada baik, dan daripada baik kepada lebih baik lagi. Kehidupan ini tidak sepatutnya dibiarkan statik biarpun telah berada di tahap yang baik. Usaha ke arah itu memerlukan satu daya kesedaran yang berterusan untuk membentuk kemampuan yang boleh melonjakkan diri melepasi halangan yang terbentuk dalam diri dan persekitaran. Tidak dinafikan, usaha untuk berubah bukan satu perkara yang mudah. Terdapat banyak halangan yang menjadikan usaha itu terbantut. Sebab itu, berubah kepada kebaikan termasuk dalam tugas jihad. Semangat yang teguh diperlukan untuk berubah. Halangan biasa menjadikan manusia tidak berdaya berubah memperbaiki diri ialah sifat malas, kejahilan, nafsu dan kurang keyakinan diri. Tambah lagi, syaitan sentiasa membisikkan dalam diri agar meninggalkan kebaikan, dan sebaliknya melakukan kejahatan. Selain halangan dalam diri, terdapat juga halangan persekitaran yang menggagalkan niat untuk berubah. Halangan itu biasanya pengaruh rakan, budaya masyarakat, tiada sumber kewangan dan kejadian semuajadi di sekeliling.

Kejayaan tidak mungkin dicapai jika sekadar melakukan usaha separuh hati dan tanpa perancangan yang teliti. Individu yang ingin berubah menuju kehidupan dengan lebih nilai kebaikan perlu menanam tekad, iltizam, keazaman dan keikhlasan yang kuat untuk melakukannya. Bertaubat juga sebahagian daripada cara untuk memperbaiki diri. Sesiapa yang bertaubat bermakna berubah dari keadaan berdosa kepada diampunkan dosanya. Orang yang bertaubat juga berubah meninggalkan perbuatan buruk yang dilakukan sebelum itu.


Maksud hadis Rasulullah: "Orang yang berhijrah itu adalah mereka yang meninggalkan perbuatan dosa." (Hadis riwayat Ahmad).


Niat dan usaha hendak memperbaiki diri perlu dilakukan sedari awal dan tidak hanya menanti apabila usia memasuki usia senja. Banyak orang memberi alasan ingin bebas berseronok ketika usia muda. Usia muda masa terbaik untuk mengumpul lebih banyak pahala. Ketika itu tenaga masih kuat. Daya ingatan tajam dan mudah mengingati apa yang dilakukan. Semangat orang muda juga berkobar-kobar untuk melakukan sesuatu yang diingini. Orang muda biasanya belum mengidap penyakit berbahaya yang biasanya menghalang seseorang daripada bergerak bebas. Ketika usia muda, tumpuan lebih dapat diberikan untuk membina landasan kehidupan yang lebih baik.

Peluang ini wajar direbut sepenuh sebelum tiba masa tua yang mana lebih banyak halangan untuk beribadat seperti kurang tenaga, penyakit, ingatan tidak tajam, dan tanda-tanda lain yang dikaitkan dengan usia tua. Malah, banyak orang yang menghabiskan hari tua dalam keadaan nyanyuk. Dalam keadan begitu bagaimana hendak memperbanyakkan ibadat. Urusan kehidupan yang biasa pun tidak dapat diuruskan dengan baik.


Masa muda termasuk perkara yang perlu direbut sepertimana sabda Rasulullah yang bermaksud: "Rebutlah lima kesempatan sebelum datang lima yang lain; iaitu masa mudamu sebelum tiba masa tuamu, masa sihatmu sebelum datang masa sakitmu, masa kayamu sebelum datang masa fakirmu, masa lapangmu sebelum tiba masa sibukmu, dan masa hidupmu sebelum datang kematianmu." (Hadis riwayat Tirmizi).


Usaha untuk berubah kepada kebaikan memerlukan pengorbanan dan bukan sekadar angan-angan. Sekiranya ingin berubah tidak perlu menanti masa tua. Individu yang benar-benar ikhlas untuk berubah tidak menangguhkan masa. Tambahan, usia kita semakin menunju penghujung, tidak tahu berapa lama lagi peluang untuk terus menyedut udara nyaman di dunia ini. Berhati-hatilah, kita tidak mengetahui berapakah lagi usia yang berbaki. Sesungguhnya nafsu tidak mengenal usia. Kekuatan nafsu tidak berkurang dengan bertambahnya usia seperti berkurangnya tenaga, daya penglihatan dan daya pendengaran. Nafsu masih ingin kepada keduniaan biarpun ketika hampir menemui maut.


Sabda Rasulullah bermaksud: "Anak Adam boleh tua, tetapi akan tetap tinggal bersamanya dua perkara iaitu kemahuan keras (nafsu) dan panjang angan-angan." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).


Untuk mendidik nafsu perlu dilakukan secara berterusan. Rasulullah menjelaskan dorongan nafsu adalah sebahagian daripada penyakit yang menyebabkan banyak berlaku kerosakan dan penderhakaan. Penyakit nafsu tidak dapat disembuhkan melainkan melalui peningkat keimanan dan ketakwaan. Ini perlu dilakukan dengan asuhan iman yang dilakukan secara berterusan bermula sejak usia kanak-kanak, disuburkan ketika alam remaja dan diteruskan ketika meniti alam kedewasaan.


Sabda Rasulullah bermaksud: "Sesungguhnya umatku akan ditimpa oleh penyakit umat-umat dahulu; sombong, suka bermegah-megah, mengumpulkan kekayaan (dengan cara yang tidak sah), berlumba-lumba merebut kemewahan dunia, pulau memulau, saling berdengki hingga mengakibatkan berlakunya penderhakaan dan keadaan kacau bilau." (Hadis riwayat Hakim).


Bagi memastikan kehidupan sentiasa dalam keredaan Allah, diri perlulah sentiasa dikuasai oleh akal dan bukannya nafsu. Akal akan menyuruh manusia melakukan kebaikan dan menolak daripada melakukan kejahatan. Dengan kekuatan akal yang dikuasai perasaan keimanan akan sentiasa menetapkan tujuan hidupnya untuk menemui Allah dengan keadaan yang sempurna amalan kehidupan di dunia ini. Atas matlamat itu kehidupan yang dilalui penuh bermakna dan tidak tergelincir daripada landasan keimanan. Berubah meninggalkan kepalsuan dan dosa adalah sebenar-benar tanda keimanan. Hakikatnya tiada untungnya bagi sesiapa yang merebut dunia dan meninggalkan akhirat kerana akhirnya tetap akan merasakan kerugian yang tidak dapat ditebus lagi apabila diri sudah berada pada hari pembalasan.


Renungkan Firman-Nya yang bermaksud: "Apakah kamu berpuas hati dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanya sedikit." (Surah at-Taubah, ayat 38).


Sesiapa juga hidup di dunia ini tidak sunyi daripada melakukan kesalahan dan dosa. Sebab itu Allah membenarkan taubat sebagai pembersih diri. Jika diri tersalah memilih jalan dosa, bersegeralah berubah memilih jalan yang sebenarnya. Mari kita sama-sama berubah ke arah kebaikan. Tidak kiralah berapa banyak perubahan itu dicapai, asalkan perkara itu dilakukan secara berterusan. Islam menganjurkan agar mengamalkan sikap istiqamah dalam melakukan sesuatu kebaikan.


Sekian,
Wallahualam...

Harga Cincin..

Tuesday, June 8, 2010

Assalammualaikum wr wbt..

Sekadar perkongsian..

Dalam khazanah kisah-kisah sufi ada diceritakan tentang seorang pemuda yang begitu lantang mencemuh tokoh sufi Dzun Nun Al Misri dan tareqatnya. Sesudah pemuda itu puas memperlihatkan kebenciannya, Al Misri mencabut cincin daripada jarinya dan berkata, "Bawalah cincin ini ke pasar, gadaikanlah dengan harga satu dinar saja"
Pemuda itu hairan, namun cincin itu diambilnya juga dan dibawa ke pasar. Dia menawarkan cincin itu kepada para pedagang, dari penjual buah hinggalah ke penjual makanan. Tiada seorang pun yang melirik apatah lagi tertarik. Lalu dengan wajah hampa pemuda itu kembali kepada Al Misri dan berkata, "Engkau membohongiku, cincin ini tidak berharga"

Jawab Al Misri, " Jangan marah dulu, sekarang juallah cincin itu kepada ahli permata. Tawarkan seribu dinar."

Tentu saja pemuda itu menjadi gusar. Tetapi rasa ingin tahunya membuatkan dia menuruti perintah ahli sufi itu. Sungguh menghairankan, ternyata para pedagang permata berebut untuk membeli cincin itu. Pemuda itu merasa takjub dan bergegas menemui Al Misri dan berkata " Mereka bersaing untuk membelinya."

"Nah." kata Al Misri. "Orang tidak akan mengetahui suatu benda itu berharga atau tidak jika ia belum mengenalnya. Bagaimana mungkin kamu berani mencaci para sufi dan ilmu tasawuf, jika kamu belum mengetahui isinya? Pelajari dulu baik baik, barulah tentukan pendapatmu. Itulah sikap orang bijak."

Wassalammualaikum..

Seputar Tentang Dakwah

Thursday, June 3, 2010

Assalammualaikum sahabat semua..

Dakwah secara literal bererti menyeru dan mengajak. Apabila kita melihat pengertian yang lebih khusus bersangkutan dengan Islam, ia adalah satu urusan menyeru manusia kepada Allah dengan Hikmah dan teladan yang baik untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan jahiliah kepada cahaya Islam. Ia adalah satu proses yang telah berlaku, sedang dan akan terus berlaku sehingga hari kiamat, kerana ia adalah urusan Allah yang akan terus dipelihara-Nya. Sekalipun orang-orang yang berdakwah mati satu persatu, akan terus lahir di atas muka bumi ini orang-orang baru yang akan menanggung amanah tersebut. Kita juga menikmati Islam dan Iman pada hari ini setelah berlakunya proses Dakwah yang panjang sejak Rasulullah SAW dibangkitkan. Bahkan sebelum kebangkitan Rasulullah SAW lagi, telah berlaku proses dakwah oleh para nabi dan rasul sebelum baginda. Rasulullah SAW dibangkitkan sebagai pelengkap kepada dakwah para nabi dan rasul sebelumnya, dengan membawa sistem yang lengkap dan teratur, iaitu Islam itu sendiri yang berlandaskan Al-Quran dan Hadith.

Makanya, dakwah itu adalah sesuatu yang berkait secara langsung dengan sesiapa sahaja yang memeluk Islam. Peringkat kefahaman yang sempurna tentang Islam itu belum tercapai sekiranya kita masih belum memahami peranan kita sebagai seorang Da’i ilallah. Walaubagaimanapun, kita harus benar-benar faham akan luasnya skop dakwah, bukan hanya tertumpu pada aspek-aspek tertentu sahaja. Secara ringkasnya, dakwah itu merangkumi seluruh kehidupan kita dan ia akan mencorakkan cara hidup kita. Apabila kita memisahkan dakwah daripada mana-mana aspek dalam kehidupan, apakah kita masih bangga mengatakan bahawa kita hidup di jalan dakwah?