Jin

My photo
"يا الله، اكو مموهون كڤد-مو اونتوق منچينتاي-مو، منچينتاي سياڤا سهاج يڠ منچينتاي-مو، سرتا منچينتاي ڤربواتن يڠ مڠهانتركن داكو اونتوق منچينتاي-مو."- نبي داود اس

Rejab Pergi Syaaban Disisi

Tuesday, July 13, 2010

Assalammualaikum wr wb...


Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.

Syaaban ertinya berpecah atau bercerai-berai. Dinamakan demikian kerana orang-orang Arab pada bulan tersebut bertempiaran ke mana-mana tempat untuk mencari air, setengahnya mengatakan bahawa mereka mencari air itu di gua-gua.

Sebahagiannya pula mengatakan sebab diertikan demikian kerana ia sebagai pemisah iaitu memisahkan di antara bulan Rejab dan Ramadhan.

Menurut Yahya bin Mu'adz pula : Sesungguhnya perkataan Syaaban itu terbentuk dari lima huruf, yang mana setiap huruf merupakan singkatan kurnia kepada orang-orang yang beriman. adalah singkatan yang bererti kemulian dan pertolongan, singkatan kepada yang bererti keperkasaan dan keutamaan, singkatan kepada ertinya kebaikan, singkatan bagi ertinya rasa kasih sayang dan singkatan bagi yang bererti cahaya.

Dari berbagai keterangan mengenai pengertian bulan Syaaban itu tadi dapatlah disimpulkan bahawa pada bulan ini adalah masa untuk manusia berebut-rebut mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai latihan dan persediaan untuk memasuki bulan Ramadhan.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : "Tahukah kamu sekalian, mengapa dinamakan bulan Syaaban?" Mereka menjawab : "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui". Baginda bersabda : "Kerana di dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali." (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama).

Keutamaan Bulan Syaaban

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Sayidatina Aisyah Radhiallahuanha, dia telah berkata yang maksudnya : "Adalah Rasulullah SAW sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa Baginda berpuasa berterusan dan Baginda sering berbuka sehingga kami menyangka bahawa Rasulullah akan berbuka seterusnya. Aku tidak pernah melihat Baginda berpuasas ebulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak dari puasanya di bulan Syaaban." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Dari hadis di atas dapatlah difahami bahawa ini menunjukkan kelebihan bulan Syaaban dari bulan-bulan yang lain dari segi pemilihan bulan untuk beramal ibadat selain dari bulan Ramadhan.
Selain dari itu, Rasulullah SAW pernah mengumpamakan keutamaan bulan ini dengan keutamaan diri Baginda sendiri ke atas nabi-nabi yang lain. Sabda Baginda yang maksudnya : "Keutamaan bulan Syaaban ke atas bulan-bulan yang lain adalah seperti keutamaan saya di atas semua nabi-nabi yang lain, sedangkan keutamaan bulan Ramadhan ke atas semua bulan yang lain adalah seperti keutamaan Allah Taala ke atas makhluk-Nya."
Amalan-amalan di bulan Syaaban

Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah :

1. Memperbanyakkan puasa sunat

Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa RAsulullah SAW lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini.

Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : "Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."

2. Memperbanyak doa, zikir dan membaca selawat kepada Rasulullah SAW.

Sabda Rasulullah SAW : "Barangsiapa yang mengagunkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)

3. Bertaubat

Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata : Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."

Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.


Wassalammualikum..

Tadabbur Al-Quran:Mengkaji & Menyelidik

Saturday, July 10, 2010

Assalammualaikum..

Maksud tadabbur dalam al-Quran ialah memerhati dengan mengkaji dan menyelidik. Allah jadikan alam ini sebagai sumber hikmah dan daripadanya terdapat rahsia-rahsia kebesaran-Nya. Berfikir tadabbur bermaksud pemikiran manusia terhadap sesuatu yang menjadi sumber kajian, telitian dan penyelidikan tidak terputus dengan maksud penciptaan itu sendiri. Dalam tradisi berfikir orang-orang Barat terdapat kecenderungan mempercayai bahawa alam ini terjadi dengan sendiri atau terjadi secara kebetulan (by accident) lalu lahir teori evolusi dan teori-teori yang seumpama dengannya mengenai manusia, alam dan kehidupan. Dalam tradisi berfikir orang-orang Islam, alam ini diciptakan oleh Allah dan manusia dijadikan dalam keadaan yang sempurna.

Berfikir tadabbur mendidik manusia untuk menghubungkan faktor kajian dan penyelidikan dengan faktor penciptaan dan hikmah di sebalik penciptaan. Allah tidak mencipta sesuatu dengan sia-sia. Ada hikmah di sebalik setiap kejadian. Berfikir tadabburlah yang boleh menghubungkan manusia dengan Pencipta dan persekitarannya. Berfikir tadabburlah yang membimbing manusia mengetahui hakikat yang nyata dan keajaiban yang ghaib. Faktor ghaibiyyat atau yang ghaib menjadi faktor yang amat penting dalam membina jalan berfikir orang-orang Islam.

Para remaja perlu berfikir secara tadabbur dalam memahami diri, Pencipta dan persekitarannya. Alam ini tidak terjadi dengan sendiri. Alam ini ada Penciptanya. Para remaja tidak harus berfikir sesuatu dalam hidup ini hanya dalam lingkungan faktor benda. Faktor benda membimbing pemikiran kepada yang wujud dan maujud. Faktor benda memimpin pemikiran remaja hanya percaya kepada sesuatu yang wujud dan nyata wujudnya dalam penglihatan. Sesuatu yang ghaib dianggap tahyul dan dogma. Pemikiran saintifik mengikut cara Barat berasaskan pendekatan rasional dan empiris di mana sesuatu itu di katakan wujud selepas melalui proses pemerhatian, adanya data dan fakta dan diuji kaji dalam makmal. Faktor ghaibiyyah dianggap tidak rasional sebab tidak boleh diuji kaji.

Berfikir tadabbur tidak menyamakan upaya manusia dengan upaya Pencipta. Menyamakan upaya manusia dengan upaya Allah seolah-olah mensetarafkan manusia dengan Allah. Apabila upaya manusia dikongsikan atau disyarikahkan dengan Allah ia membawa kepada syirik. Allah Pencipta alam ini dan seluruh isinya. Manusia diciptakan dan menjadi sebahagian dari isi bumi. Manusia tidak ada kudrat mutlak terhadap dirinya. Manusia sihat, sakit dan akhirnya akan mati.Manusia tidak mempunyai keupayaan untuk menahan diri dari mati. Berfikir tadabbur memimpin manusia bahawa upaya manusia terbatas seperti juga upaya makhluk-makhluk yang lain. Kemutlakan hanya ada pada yang mencipta dan mengurus alam ini iaitu Allah.

Sesuatu yang Allah jadikan baik pokok mahupun air terkandung hikmah yang besar. Berfikir saintifik cara Barat melihat faktor itu sebagai faktor nature atau dikatakan sedia jadi atau semulajadi. Berfikir tadabbur melihat faktor itu sebagai faktor tabie yang diciptakan dengan maksud memberi rahmat kepada manusia. Pada pokok terdapat sumber makanan, ubatan, oksigen dan lain-lain untuk kepentingan manusia. Berfikir tadabbur mendorong manusia mengkaji di sebalik wujudnya bunga, buah, akar, kulit, daun dan batang, terdapat hikmat yang besar untuk manfaat manusia dan kehidupan. Pada air terdapat faktor fitrah kejadiannya untuk menghilangkan dahaga, membersihkan kotoran dan menyuburkan pokok-pokok serta kehidupan. Daripada kajian dengan penemuan yang terbatas menjadikan manusia merasakan kebesaran dan kehebatan ciptaan Allah yang tidak mampu dilakukan oleh manusia.

Mencipta

Para remaja harus menginsafi bahawa proses mencipta datang daripada Allah. Allah mencipta daripada sesuatu yang tidak ada kepada ada. Manusia hanya menggubah mereka daripada sesuatu yang telah diciptakan kepada sesuatu yang lebih kreatif untuk keperluan dan kepentingan manusia. Allah ciptakan pokok-pokok dan daripadanya ditebang serta diracik-racik oleh manusia dan tukang untuk dibuat rumah dan bangunan. Berfikir tadabbur boleh menjadikan remaja dekat dengan Allah kerana bukti penciptaannya amat nyata. Memahami hakikat kewujudan Allah adalah dengan memahami tanda-tanda kebesaran-Nya. Sekiranya para remaja berada di tepi pantai melihat ada tapak-tapak manusia di situ, para remaja akan percaya bahawa ada manusia pernah lalu di situ walaupun manusianya secara maujud tidak ada. Apabila remaja masuk ke hutan melihat kesan tapak kaki harimau lantas percaya bahawa ada harimau di hutan itu walaupun harimau tidak ada di depan para remaja.

Berfikir tadabbur membimbing remaja bahawa langit, bumi, planet-planet yang berputar, ketepatan dan kelajuan perjalanannya, wujudnya kejadian siang dan malam, hujan dan panas, hidup dan mati adalah tanda-tanda kebesaran Allah. Sunah Allah menentukan kejadian dan perjalanannya. Manusia tidak mengurus alam ini. Manusia hanya dijadikan khalifah untuk mengurus sebahagian dari kehidupan dan mengurus rahmah serta nikmat yang dikurniakan. Alam ini ditadbir dengan tersusun lagi teratur. Manusia mengaturkan sistem lebuh raya dengan kaedah yang canggih tetapi perlanggaran dan kesesakan tetap juga berlaku.

Ia membayangkan kelemahan dan ketidakupayaan manusia. Berfikir tadabbur boleh membimbing remaja betapa hebatnya rahmat dan nikmat yang menjadi rahsia Allah dan limpahan rahmat serta nikmat itu menjadi hikmah yang perlu dikaji. Apa yang manusia tahu tentang hikmah dan nikmat Allah itu masih sedikit. Pada Allahlah terdapatnya Keperkasaan, Kebesaran dan meletakkan Allah Yang Maha Mengetahui. Manusia hanya mengetahui sedikit. Ia meletakkan keimanan yang tinggi terhadap Pencipta.


Oleh DR. SIDEK BABA