Jin

My photo
"يا الله، اكو مموهون كڤد-مو اونتوق منچينتاي-مو، منچينتاي سياڤا سهاج يڠ منچينتاي-مو، سرتا منچينتاي ڤربواتن يڠ مڠهانتركن داكو اونتوق منچينتاي-مو."- نبي داود اس
Showing posts with label Kehidupan. Show all posts
Showing posts with label Kehidupan. Show all posts

Seni Menurut Islam

Thursday, June 17, 2010

Assalammualaikum wr wb..


Makna literal:
seni ialah halus, indah atau permai

Istilah:
seni ialah segala yang halus dan indah lagi menyenangkan hati serta perasaan manusia

Dalam pengertian yang lebih padu:
ia membawa nilai halus, indah, baik dan suci ( berguna dan bermanfaat serta mempunyai fungsi dan nilai sosial)

NYANYIAN DAN SENI MUZIK

Nyanyian dan muzik boleh mengubah sikap ke arah pencapaian peradaban yang bererti di samping mempunyai kekuasaan tersendiri hingga boleh menukar emosi menjadi terharu, sedih, pilu, menangis bahkan gila. Ini menunjukkan bahawa nyanyian dan muzik sangat rapat hubungannya dengan jiwa manusia. Oleh itu, ia perlu dikawal dan diberi perhatian supaya tidak merosakkan jiwa dan moral manusia.

Islam dari segi falsafahnya menyatakan nyanyian dan muzik haruslah bertujuan ke arah pembentukan peribadi dan sebagai tali penghubung ke arah taqwa kepada Allah. Islam tidak mengizinkan nyanyian dan muzik yang melalaikan manusia dari kewajiban terhadap Allah. Seni yang merosakkan adalah seni sesat yang hukumnya haram dan patut dijauhi.



PANDANGAN ULAMA’ DAN FATWA BERHUBUNG SENI MUZIK

a) Pandangan Imam al-Ghazali


- tidak terdapat keterangan yang jelas dari sunnah Rasulullah yang melarang penggunaan alat-alat muzik

- sebahagian instrumen muzik yang mempunyai bunyi yang baik tidak dilarang

- seni muzik yang dilarang ialah seni muzik yang berada di dalam keadaan yang bersetongkol dengan kumpulan pemabuk, perzinaan dan perbuatan dosa yang lain

- mendengar lagu itu ada 5 hukum iaitu harus, sunat, wajib, makruh dan haram


Imam al-Ghazali mengklasifikasikan lagu-lagu kepada 7 jenis iaitu :

• Lagu-lagu yang membangkitkan kerinduan untuk menziarahi tempat-tempat suci seperti Mekah dan Madinah

• Lagu yang mengobarkan semangat untuk berjuang mempertahankan aqidah dan negara

• Lagu yang memperihalkan pertarungan dan sikap kelelakian yang pantang mengalah di saat-saat genting

• Lagu yang mengenang peristiwa lampau yang menimbulkan kesedihan yang positif. Mengingatkan diri terhadap hakikat hidup yang sebenar.

• Lagu yang menyifatkan keadaan ketika rela dan sukacita untuk menghargai suasana tersebut dan menikmati kenangannya selama yang mungkin

• Lagu bercorak ghazal yang sopan : memperihalkan kisah cinta dan membayangkan harapan untuk bertemu dan pertautan yang lebih erat di masa yang akan datang

• Lagu yang memperihalkan keagungan sifat-sifat tuhan, memuji serta mentahmidkan kebesarannya


b) Pandangan Imam Shafi’i - Menyatakan bahawa nyanyian itu adalah makruh dan melalaikan di dalam kitabnya, Adab al-Qada’:

- Ia menyamai kebatilan dan sesiapa yang mendengarnya maka dia adalah seorang safih dan penyaksiannya ditolak
- Mendengar nyanyian dari wanita yang bukan mahram tidaklah harus dalam apa jua keadaan samada di tempat terdedah atau di tempat tertutup, samada wanita yang merdeka atau hamba
- Jika tuan kepada hamba abdi wanita mengumpulkan orang ramai agar mendengar nyanyian abdinya itu, maka dia juga seorang safih dan penyaksiannya ditolak
- Memakruhkan penggunaan seruling kerana menurutnya itu adalah perbuatan kaum Zindik untuk memesongkan orang dari mendengar al-Quran


c) Pandangan Imam Malik

- Melarang mendengar nyanyian

- Menyatakan bahawa barangsiapa ingin membeli seorang abdi wanita dan diketahuinya wanita tersebut seorang penyanyi, maka janganlah dibeli wanita tersebut



d) Pandangan Ibn Taimiyyah

- Membezakan antara mendengar nyanyian dan muzik yang bermanfaat pada agama dan antara apa yang diberi pengecualian untuk mengelakkan dosa, dan antara pendengaran muqarrabin dan pendengaran orang-orang biasa

- Diharuskan mereka mendengar apa yang disyariatkan kepada para hamba Allah iaitu mendengar ayat-ayat Allah : dapat membaiki hati dan menyucikan jiwa


e) Pandangan Dr.Yusuf al-Qaradawi

- Membuktikan mengenai hukum seni muzik yang pada asalnya bersifat harus tetapi boleh berubah kepada hukum-hukum lain berdasarkan beberapa syarat iaitu :

• Bukan semua lagu itu harus. Isi kandungannya hendaklah bertepatan dengan kesopanan Islam serta ajarannya. Nyanyian-nyanyian yang menyanjung pemerintah yang zalim, taghut dan fasiq adalah bertentangan dengan ajaran Islam kerana Islam melaknat para pelaku kezaliman dan para pengampunya.

• Cara persembahannya juga mesti diambilkira. Kadangkala tajuk lagunya tidak menjadi masalah tetapi cara penyampaian penyanyinya itu yang boleh menyebabkan hukumnya haram, syubhah atau makruh. Ini termasuklah cara nyanyian yang memberangsangkan ghairah seks para pendengar melalui tema-tema cinta berahi.

• Hendaklah nyanyian itu tidak diiringi dengan perkara yang haram seperti meminum arak, mendedahkan aurat atau bercampur diantara lelaki dan perempuan tanpa batas dan had.

• Seperti perkara-perkara harus yang lain, nyanyian hendaklah tidak dilebih-lebihkan terutama nyanyian yang menyentuh perasaan dan kerinduan yang berlebihan. Sekiranya unsur-unsur yang berlebihan ini tidak dikawal, ianya akan mengabaikan hak akal, rohani dan kehendak seseorang, masyarakat dan agama.

• Sekiranya terdapat unsur nyanyian yang menaikkan nafsu syahwat, mendorong ke arah kejahatan, menjadi lalai dan leka untuk mengerjakan ibadah maka menjadi kewajipan ke atas pendengar untuk menjauhinya, menutup pintu fitnah tersebut demi memelihara dirinya dan agama.


f) Fatwa Sheikh Mahmud Shaltut

- Mendengar dan bermain alat muzik adalah sama hukumnya dengan merasa makanan yang lazat, menghidu bau yang harum, melihat pemandangan yang cantik atau mencapai pengetahuan yang tidak diketahui. Semuanya memberi kesan untuk menenangkan fikiran apabila jasmani penat dan memberi kesan dalam memulihkan semula tenaga.

- Al-Quran yang mendasari segala peraturan dan perundangan yang begitu sempurna adalah bertujuan untuk menjaga supaya tidak berlaku keterlaluan di pihak yang tidak menggunakan muzik dan pihak yang menggunakan muzik secara berlebihan. Apatah lagi Islam menuntut kepada kesederhanaan.

- Fuqaha’ terdahulu telah membenarkan penggunaan seni muzik apabila mempunyai tujuan yang sesuai seperti muzik iringan ke medan perang, haji, perkahwinan dan hari kebesaran Islam. Mengikut fuqaha’ Hanafi, muzik yang dilarang ialah sekiranya bercampur dengan majlis yang terdapat arak, penyanyi perempuan yang mengghairahkan, unsur-unsur fasiq, perzinaan dan berhala.

- Beliau memberi amaran kepada sesiapa yang berani melarang sesuatu perkara yang tidak jelas dilarang oleh Allah.


Perkongsian bersama, sekian..

Wassalammualaikum..

Pilih Yang Mana?

Wednesday, June 16, 2010

Assalammualaikum wr wb...

Agama kita mengajarkan supaya keputusan yang hendak dibuat haruslah melalui istkharah dan istisyarah. Sungguh, tidak lengkap istikharah tanpa istisyarah ataupun sebaliknya. Istikharah tidak dapat berjalan secara tunggal tanpa diapit oleh istisyarah. Di situ ada pergantungan kepada Khaliq dan hubungan dengan makhluq. Menurut para ulama’, jawapan kepada istikharah pula tidak mutlak melalui mimpi semata - mata. Petandanya mungkin saja melalui gerak hati, kecenderungan atau pun dipermudahkan jalan – jalan kepada urusan tersebut. Boleh jadi juga, jawapan istikharah ada pada istisyarah. Perbincangan demi perbincangan akhirnya sampai kepada satu titik jawapan. Pastinya istikharah tidak sekali – kali dikesampingkan kerana istikharah dan istisyarah ibarat irama dan lagu. Jika kurang salah satu, maka pincanglah ia. Istisyarah tanpa istikharah pula seolah – olah kita lebih mengutamakan pendapat makhluq daripada Sang Pencipta. Jelas di situ akan terjadi kepincangan kerana ‘pendapat’ Allah dibelakangkan.

Di Malaysia, pada sesetengah orang, istikharah hanya relevan untuk urusan jodoh sahaja. Istikharah hanya untuk urusan nikah kahwin. Doa istikharah pula wujud dalam pelbagai bentuk dan versi. Ada juga yang saya jumpa berbunyi begini ‘ Ya Allah, andainya dia telah ditetapkan untukku, maka dekatkanlah dia kepadaku, permudahkan urusan Ya Allah.. tapi seandainya dia bukan untukku, bawalah dia jauh dari pandanganku dan tunjukkanlah kelemahan dan keburukannya ‘. Allahu.. rangkap pertama di dalam doa tersebut, InsyaAllah bisa saja diamalkan cuma rangkap yang terakhir, mudah – mudahan bukannya pilihan. Apa perlunya kita meminta supaya Allah membentangkan keburukan dan kelemahannya kepada kita ? Bukankah kelemahan dan aib sendiri lebih banyak untuk diselidiki. Permintaan sebegitu hanya memakan diri, dan kalau pun Allah membuka aibnya di depan mata kita, apa faedahnya? Apa yang kita akan dapat ? Melainkan kita akan terus berburuk sangka dan menganggap ‘aku lebih baik dari dia, dia tidak layak untukku kerana keburukan dan kejelikan – kejelikannya’

Ya Salam… Menganggap orang lain buruk dan kita sahaja yang baik sebenarnya merupakan perangai setan. Oh, bunyinya mungkin agak kasar. Renungkan firman Allah :


“ (Allah) berfirman ‘Apakah yang menghalangimu (sehingga) kamu tidak
bersujud (kepada Adam) ketika Aku menyuruhmu?” (Iblis) menjawab, “Aku lebih baik
daripada dia. Engkau ciptakan aku dari api, sedangkan dia Engkau ciptakan dari
tanah.” ( Al A’raf : 12)


Bahaya kan virus “ Aku lebih baik dari dia ” ? kerana disitu ada bibit – bibit riyak dan takabbur, sifat makhluq penentang Tuhan. Cukuplah kita memohon, ‘andai dia bukan untuk ku, berilah petunjuk Mu ’. Cukup sekadar itu. Mungkin ‘petunjuk’ Nya adalah sukarnya urusan, ataupun calon tersebut tidak dipersetujui oleh ibu bapa kita kerana beberapa faktor lain dan sebagainya. Bukannya meminta agar disingkap segala aib – aibnya. Macamlah kita tidak punya aib…


Allah akan memberikan yang terbaik kepada kita. Itu benar. Seandainya seseorang itu bukan ditaqdirkan untuk kita, maka dia bukannya yang terbaik untuk kita dalam konteks ‘kesesuaian’ dan ‘keserasian’. Kesesuaian dan keserasian itu pula akan berbeza dari seorang individu kepada individu yang lain. Misalnya, Jika dia orang yang beragama, boleh jadi dia bukannya orang yang serasi dan sesuai dengan kita dari sudut fikrah , mungkin tidak sesuai dengan kerjayanya, mungkin cita – cita tidak sama, mungkin, mungkin…. Pelbagai kemungkinan.


Hanya Allah yang tahu.


Apa yang jelas ingin dikatakan disini, jika dia bukannya yang terbaik untuk kita, bukannya bermakna dia orang yang tidak baik atau pun kita lebih baik dari dia. Ukurlah dengan neraca agama. Si dia yang Allah pilih untuk kita adalah orang yang paling serasi dan terbaik untuk kita kerana Allah Maha Mengetahui keadaan dan diri seseorang. Apa yang bukan menjadi pilihan maka janganlah disertakan dengan kebencian, atau pun buruk sangka yang bukan – bukan, kerana sebenarnya apa yang diinginkan dari hidup ini adalah redha Tuhan.

Hakikatnya, pilihan dalam kehidupan akan terus berlaku sehingga hari kiamat. Selagi mana jantung berdenyut, haq dan batil akan terus berlawan. Minta dipilih menjadi teman. Maka di situ pastikan neraca taqwa memainkan peranan. Bagaimanana cermin pandang kita kepada pilihan – pilihan tersebut. Ada individu yang menangisi kematian As Syahid Syeikh Ahmad Yasin, Bapa Intifadha Palestin yang dibunuh dengan kejam di atas kerusi roda. Ada juga yang “memilih” untuk menangis tersedu sedan ketika Mawi tersingkir dalam pusingan Akademi Fantasia sia - sia. Menangis adalah suatu perkara yang biasa, cuma apa dan kenapa yang membuatkan kita “ memilih” untuk menangis, berbalik kepada ‘neraca’ apa yang kita guna, agar air mata kita yang tumpah tidak sia – sia disisi agama.


Dan akhirnya, di akhir perjalanan hidup kita, Pilihannya cuma dua. Tidak ada yang ketiga.

SYURGA atau NERAKA. Pilihan anda... :)


Wassalammualaikum..

Selamat Datang Rejab!

Tuesday, June 15, 2010

Assalammualaikum wr wb..

Salam sejahtera buat sahabat semua yang sentiasa menyinggah di Jin Berbisik. Alhamdulillah, masa berlalu dengan pantas dan membawa kita ke bulan Rejab. Syukur kerana Allah masih memilih kita untuk melalui bulanNya ini yang penuh dengan barakah dan lakaran sejarah tersendiri.

Sama-sama kita perbanyak doa dan zikir:


اَللّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَب وَشَعْبَانَ، وَبَلِّغْنَا شَهْرَ رَمَضَانَ، واَعِنَّا عَلَى الصِّيَامِ وَالْقِيَامِ وَحِفْظِ اللِّسَانِ، وَغَضِّ الْبَصَرِ، وَلاَ تَجْعَلْ حَظَّـنَا مِنْهُ الْجُوعَ وَالْعَطَشَ


Rasulullah Saw juga bersabda: “Bulan Rejab adalah bulan Allah Yang Maha Agung, tidak ada bulan yang menandingi kemuliaan dan keutamaannya. Di dalamnya diharamkan berperang dengan orang-orang kafir, karena bulan Rejab adalah bulan Allah, Sya’ban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan ummatku. Barangsiapa yang berpuasa sehari di dalamnya wajib baginya memperoleh ridha Allah, dijauhkan dari murkanya, dan diselamatkan dari semua pintu neraka.”

Dari segi bahasa : Rejab makna menghormati dan memuliakan.

Dinamakan bulan Rejab kerana orang-orang jahiliyah dahulu menghormati dan memuliakan bulan ini dengan mengharamkan peperangan dalam bulan ini.

Bulan Rejab merupakan salah satu bulan dari 12 bulan-bulan Islam dan ia merupakan salah satu dari 4 bulan ‘Haram’ didalam Islam. Dalilnya terdapat di dalam Firmah Allah swt di dalam Surah Al-Taubah ayat 9 maksudnya : “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati” . Allah swt telah mengurniakan kepada manusia 4 bulan haram. Bulan-bulan ini sebagaimana yg disepakati oleh semua ulama’ ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Umat Islam adalah diharamkan pergi berperang didalam bulan-bulan ini, kecualilah jika mereka diugut.

Bulan Rejab mengandungi peristiwa-peristiwa bersejarah kepada orang Islam di mana berlakunya peperangan Tabuk, pembebasan Al-Aqsa dari tangan tentera Salib dan juga ada orang Islam yang berpendapat bahawa bulan inilah berlakunya peristiwa Isra’ dan Mi’raj Nabi Muhammad saw.

Secara ringkasnya, Israk dan Mikraj adalah sebuah peristiwa di mana Nabi Muhammad S.A.W telah di”israk”kan (dibawa berjalan) dari Kota Mekah ke Baitul Muqaddis serta di”mikraj”kan (dibawa naik ke atas) ke Sidratul Muntaha untuk mengadap Allah S.W.T di mana Solat 5 waktu telah difardukan ke atas umat Islam melalui Rasulullah S.A.W. Semuanya berlaku di dalam satu malam sahaja.

Firman Allah SWT:

“Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya pada satu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” Surah Al Israa ayat 1.

Di sini Jin ingin mengajak sahabat2 terutama umat Islam seluruhnya menyambut bulan ini dengan memperbaharui tekad dan ikrar. Jika sebelum ini kita mengucap Dua Kalimah Syahadah tapi hidup dengan penuh hasad, kemarahan, dendam, benci dan sebagainya, tahun ini kita mengucap Dua Kalimah Syahadah dengan penuh kecintaan kepada Allah. Sebagai hambaNya, yang benar-benar cintakanNya, marilah sama-sama kita memperbanyakkan memuji-muji Allah, amalan dan ibadah. Sekian..

Wassalammualaikum wr wb..

Masam Itu Manis

Thursday, June 10, 2010

Assalammualaikum wr wb...

Cabaran dan dugaan adalah fitrah kehidupan. Adakalanya ombak taufan datang menggoncang hati menghasilkan kegelisahan yang melenyapkan sebuah ketenangan. Hati kita resah, gelisah dengan masalah yang melanda.

Lalu kita menjalani siri-siri kehidupan dengan tekanan sehingga mengukir riak muka masam. Biarpun matahari pagi masih bersinar terang, namun oleh kerana masalah yang membelenggu diri terbina tembok pemisah antara kita dan ketenangan.

Inilah fitrah kehidupan..........

Hidup ini tidak selalunya indah. Walaupun mungkin poket kita dipenuhi dengan wang dan rakan-rakan di sekeliling pinggang, itu semua tidak lagi bermakna andai hati tidak tenang. Ada manusia, apabila diuji dengan secebis kesusahan, ia melenting menghambur kata-kata kesat menyalahkan semua insan serta tuhan. "Apa salah aku sehingga diuji dengan ujian seberat ini?" Mulutnya menzahirkan kebencian. Mengangkat diri ke makam tertinggi.

Firman Allah SWT,

Namun apabila tuhan mengujinya lalu membatasi rezekinya, lalu dia berkata, "Tuhanku telah menghinaku" (Al-Fajr, 16)

Insan itu lupa bahawa alam ini tidak sentiasa cerah. Selimut kegelapan malam pasti terbentang setelah matahari siang memancar terik. Dan begitu juga kehidupan kita. Andai segalanya indah dan mudah pasti kita akan bosan dan tidak merasakan nikmatnya sebuah kelapangan. Dan atas dugaan yang melanda, ramai manusia yang lupa diri, lupa tuhan, lupa akhirat. Tidak puas hati, tidak reda dengan masalah yang berlaku.

Mungkin kerana merasakan diri terlalu mulia dan suci untuk mendapat ujian sebegitu. Dan mulalah ia menyalahkan segalanya, hanya dirinya saja yang berada pada kebenaran. Namun sekiranya difikir-fikir kembali, sehingga bila emosi itu akan menyelesaikan masalah?

Oleh itu kehidupan mengajar kita bahawa 'kita adalah siapa kita'. Sekiranya kita inginkan bahagia, maka kebahagiaan pasti hadir. Sebuah kisah yang dipetik daripada buku "The 7 habits of Highly Effective People" oleh Stephen R. Covey – sebuah kisah tentang seorang banduan di zaman pemerintahan diktator Nazi. Dia seorang lelaki yang menjadi banduan dalam tahanan penyiksaan oleh askar nazi yang kejam.

Setiap hari dia diseksa, dipaksa berkerja keras serta tidak diberi makanan. Berbagai-bagai penyiksaan dikenakan. Namun apa yang pelik adalah dia tidak pernah merungut, bahkan sentiasa tersenyum. Seolah-olah bahagia. Apabila ditanyakan mengapa ia masih bahagia lalu ia menjawab, "Askar nazi telah menguasai jasadku, oleh itu aku takkan serahkan hatiku kepada mereka. Hati ini milik aku dan aku inginkan hati ini sentiasa bahagia".

Begitulah jua kita. Bahagia itu dicipta dan dipelihara. Berhentilah daripada menyalahkan keadaan, takdir serta kesilapan insan. Sebaliknya marilah kita melihat kedalam diri sendiri, mungkin kita yang lupa dan alpa lantas masalah ini tiba. Andainya kehidupan ini sempit, maka bergeraklah kepada tempat yang lebih luas. Biarkanlah apa yang telah terjadi, masalah yang telah berlaku. Andainya sesuatu telah hilang daripada kita, maka ciptalah ia!

Allah telah mengajar kita dalam Quran,

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum sebelum mereka mengubah diri mereka sendiri" (Ar-ra'd, 11)

Ya, kita adalah siapa yang kita ingin jadi. Kuncinya perubahan. Dan perubahan itu bermula dengan berfikiran positif. Sentiasa positif walaupun berlaku apa-apa dugaan. Masam manis kehidupan ini adalah fitrah. Hidup ini ibarat roda, adakalanya kita berada di atas dan kadangkala kita berada di bawah. Masalah itu penyeri kehidupan yang akan menjadikan kita lebih menghargai sebuah ketenangan. Sekiranya manusia menghidangkan limau masam kepada kita, maka buatlah air limau manis yang menyegarkan. :)

Hidup ini indah. Masam itu manis.

Sekian,
Wallahualam...

Kosong..

Saturday, May 29, 2010
Assalammualaikum wr wb..

Banyaknya yang nak diperkata sehingga tak kecukupan kata....

Apa agaknya maknanya tu?

Kerap kita rasa banyak sangat benda yang nak ditulis, cerita yang nak dikongsi, rasa yang ingin diluah... Tapi, tiada kata yang paling sesuai untuk menggambar semuanya.. sehingga akhirnya kita rasa kita tiada apa yang menarik untuk dikongsi...

Anda pernah tak rasa macam tu?.

Saya pernah..

Dan saya sedang mengalaminya di saat ini..

Arrggghhh.....

Salam...

5 Peristiwa Aneh

Thursday, May 27, 2010

Assalammualaikum wr wb..

Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara..

Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang negkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."
Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku." Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."

Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.

Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."

Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukittetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu. Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua. Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya. Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat. Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."

Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."

Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar...

Sekian, Wallahualam..

Benar-benarkah tarbiyah telah mengajarkan kita?

Saturday, May 8, 2010
Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang..


bagai terputus urat nadi
bagai direnjat tangkai jantung
semacam ditumbuk-tumbuk pada wajah
seolah ditampar-tampar di pipi


tarbiyah mengajarkan kita
bukan untuk sekadar soleh
tapi juga menjadi musleh
bukan memikirkan apa yang mahu difikir
tetapi memikir apa yang perlu difikir
bukan sibuk dengan perancangan peribadi
tetapi menyibukkan diri dengan perancangan dakwah
keperluan dakwah,
kemahuan dakwah,
kehendak dakwah,
permintaan dakwah,
segalanya dakwah..

harusnya tarbiyah mengajarkan kita
mengurus apa yang urusan kita
mengerjakan apa yang merupakan kerja kita
menyelesaikan apa yang merupakan permasalahan kita
mentaati apa yang merupakan perintah buat kita
mengikuti apa yang menjadi suruhan untuk kita
membuat sehabis baik segala yang merupakan ruang lingkup dan capaian kita
menggembleng seluruh harta dan tenaga
juga memerah segenap titis saripati potensi diri kita...

tarbiyah mengajarkan kita
bergerak dengan punyai hala
berjalan dengan punyai qo'id
berlari dengan punyai plan
walau selaju mana kita pergi,
walau sejauh mana,
walau setinggi mana,
walau sehebat mana,
tetap teguh mengikat diri pada tali Allah
tetap mengingati bahawa tangan Allah
tetap ada di atas tangan-tangan kita

tarbiyah benar-benarkah
telah mengajarkan kita?

bila diminta kita jawap "nanti saya buat" tapi tak buat-buat
bila disuruh lantas merasa "kenapa pulak camtu, i deserve better than that" lalu suruhan terbang menjadi angin lalu
bila ditegur kita jawap "ana pun ada banyak juga nak tegur" tapi apa yang merupakan teguran buat diri kita langsung kita tak ambil peduli

bila hak kita dikurangi, lantas kita marah2
situ salah, sana salah
namun pernahkah kita sama muhasabah diri,
sudahkah kita memberi hak yang sepatutnya
terhadap dakwah dan tarbiyah ini?
jadi soalnya sekarang
benar-benarkah tarbiyah
telah mengajarkan kita?

Wassalam..

Luahan..

Monday, April 19, 2010

Ya Allah..
Sungguh berat kaki ini untuk melangkah..
Terasa sesak nafas di dada ini..
Air mata terus berguguran membasahi pipi..
Seakan ada beban yang berat menghempap diri ini..
Tetapi dengan baki kesabaran yang tersisa ini..
Aku masih lagi di beri peluang mencari Cinta Mu..terima kasih Allah..
Aku tak peduli..dalam apa jua kepayahan, tak akan mudah ku menyerah kalah ..

Mengapa Ya Allah..mengapa..
Subhanallah..
Bila iman mula berfikir..
Bila iman mula bersuara..
Dengan kurniaan ni’mat kasih sayang Mu yang menyinari diri..
Dengan keadaan hati yang telah retak menanti belah..hati yang sarat dengan dosa dan maksiat..
Akhirnya kepahitan itu dapat aku telan dengan penuh keni’matan..

Aku percaya
Bahawa kekuatan ini adalah datang dari Mu..aku yakin..aku pasti..ia datang dari Mu..
Kerana.. sesungguhnya segala kekuatan adalah milik Mu
Segala kebesaran adalah milik Mu
Sesungguhnya kerajaan Langit dan Bumi adalah milik Mu
Dan Engkau tidak pernah merasa berat untuk menguruskannya
Sepanjang masa Engkau dalam kesibukan..
Tetapi tidak satu pun di antara kami terlepas dari jagaan Mu..
Itulah bukti kebesaran Mu..

Maafkan aku Ya Allah..
Kadang kala ucapan CINTA yang aku lahirkan itu tidak aku susuli dengan bukti yang nyata dan kukuh..
Aku berdoa untuk bertemu dengan Mu..
Aku tak malu untuk menyatakannya walaupun aku sedar hasrat itu terlalu sukar di gapai..
Tiap detik yang berlalu tidak benar-benar menunjukkan kesetiaan CINTA antara kita..
Walhal aku tahu pertangungjawaban akan pinta..
Atas tiap perkara yang aku lakukan dengan hati,mata,lidah dan perbuatan..
Segalanya akan di soal oleh Mu Ya Allah..

Ya rabb..
Sekarang aku sedar bahawa perjalanan ini tak akan dapat di teruskan
Bila pinjaman ni’mat iman di tarik semula
Bila urusan dunia melebihi akhirat..
Bila godaan syaitan menguasai diri..
Astaghfirullahal a’zim..
Tidak ..tak akan aku biarkan, kerana aku akan buktikan bahawa syaitan itu lemah
Walaupun kelicikannya sering menjatuhkan ku dari landasan yang benar..
Tapi itu bukan alasannya..
Tak semudah itu dia dapat mengusai diri ini..
Izinkan aku Ya Allah untuk menentang dan membuktikannya..

Ya Rohman..Ya Rohim..
Bantulah diri ini tika langkah mulai kaku..
Bekalkan lah aku kekuatan..
permintaan sekecil ini sangat mudah untuk Engkau perkenankan..maka perkenankan lah
Keimanan yang senipis kulit bawang ini bahkan lebih nipis dari itu tak akan menebal
Jika tidak dibajai dengan bajaan taqwa
Bajaan kesabaran
Bajaan tawakkal dan redho
Bajaan pentarbiahan..
Kurniakanlah wahai Allah yang Maha Perkasa!!

Kini akan ku tanam sedalam-dalamnya ingatan dari Mu
Agar rela menjual dunia untuk akhirat
Rela mengorbankan diri mencari keredhaan Mu
Menjadikan dunia sebagai ladang untuk bercucuk tanam..membawa pulang ke destinasi yang abadi
Kehidupan di dunia tidak lebih dari satu hari..
Hari pertemuan akan tiba sebentar lagi
Bumi ini akan hancur sehancurnya..
Mengejar akhirat tetapi tidak melupakan bahagian dunia..
Janji Mu pasti berlaku,,siksaan Mu amat KERAS..
Akan cuba aku ingati selagi nafas masih bersisa..
Insyaallah dengan perkenan Mu Ya Karim

Inilah luahan hati ku..
Terimalah hajat ku..
Terima lah hasrat ku..
Terimalah daku sebagai HAMBA Mu..
Hadir lah di sisi ku sepanjang waktu..kerana aku sentiasa memerlukan Mu dalam setiap urusanku..
Mahligai hati ini hanya untuk Mu..untuk Mu selamanya..
Sesungguhnya diri ini lemah, tidak sempurna, penuh dengan cacat cela
Akanku sujud serta merendah kan diri ini ke tempat yang paling bawah kepada Mu..
Kerana sesungguhnya SOLAT,IBADAH,HIDUP, dan MATI ku hanya untuk Mu..hanya milik Mu..

Benar-benar Memujukku..

Wednesday, April 14, 2010

Bismillahirahmanirahim...




Siapakah kita untuk terus menjalani hidup dengan bahagia?

Sedangkan cabaran dan dugaan bila-bila akan menempuh hari yang bakal mendatang. Kadang kita diberi nikmat-Nya dan seringkali juga nikmat itu disalahguna. Kadang kita mengeluh dengan apa yang telah diatur, namun sememangnya manusia itu takkan lari dari mengeluh.

Tanya diri, berapa banyak keluhan kita dalam sehari berbanding pujian untuk-Nya? Itulah manusia.


“Apa jua jenis rahmat yang dibukakan oleh Allah kepada manusia, maka tidak ada sesuatu pun yang dapat menahannya; dan apa jua yang ditahan oleh Allah maka tidak ada sesuatu pun yang dapat melepaskannya sesudah itu. Dan (ingatlah) Dia lah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” Surah Fatir:2
“Bertanyalah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): "Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi?" Terangkanlah jawabnya: "Ialah Allah; dan sesungguhnya (tiap-tiap satu golongan), sama ada golongan kami ahli tauhid atau golongan kamu ahli syirik - (tidak sunyi daripada salah satu dari dua keadaan): keadaan tetapnya di atas hidayah petunjuk atau tenggelamnya dalam kesesatan yang jelas nyata " Surah Saba':24


Lantas hari-hari yang berlalu dinikmati bersahaja, peringatan yang datang seakan angin yang menampar pipi. Tatkala angin berlalu pergi, kedinginan turut hilang. Kadangkala tangisan penuh sedar itu tiba, namun akan hadir jua perasaan putus asa terhadap keampunan-Nya. Seolah diri tidak akan diterima amalannya. Lantas amalan terputus begitu sahaja. Ditambah pula dengan dosa yang memujuk hati-hati yang sememangnya tidak ada ketenangan dalam diri.


“Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Surah Az-Zumar:53


Tatkala masa sibuk datang, rindu bertandang pada masa lapang. Hari dilalui dengan mengharap masa akan pantas berlalu. Sedangkan hari nyawa terpisah daripada jasad semakin pendek. Kesibukan yang menjadi ujian. Ada yang berusaha belajar dari kesilapan masa lalu. Ada yang berusaha mempelajari perkara yang membuatkan kesilapan datang. Kita tidak tahu, mungkin setelah ujian atau bala menimpa, barulah kita tersedar akan perkara yang kita anggap remeh ini amat mempengaruhi hari kebesaran kelak. Setakat manakah kita yakin hari itu bakal menjelang?


“Manusia tidak jemu-jemu memohon kebaikan. Dan kalau ia ditimpa kesusahan maka menjadilah ia seorang yang sangat berputus asa, lagi sangat nyata kesan putus harapnya (dari rahmat pertolongan Allah).” Surah Fussilat:49

“Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah dia serta menjauhkan diri (dari bersyukur); dan apabila ia ditimpa kesusahan, maka ia berdoa merayu dengan panjang lebar.” Surah Fussilat:51


Kita memikirkan falsafah apakah yang mampu menyedarkan diri dan kesedaran yang hadir dengan rasa cinta dan takut untuk melakukan perkara yang mendatangkan dosa. Bilakah agaknya perasaan itu lahir? Beribu kali bermuhasabah diri namun jarang sekali istiqamah. Tiap kali rasa manis beribadah itu hadir meresap dalam diri, masa yang sama kita rebah dengan ujian yang seringkali terlepas pandang pada hikmahnya.


“Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya)” Surah al-Hujurat:15


Kesabaran amat mudah diungkapkan dengan kata-kata. Namun untuk meresap dalam jiwa amat berat sekali. Hati yang tiada tempat sandaran, akan sentiasa meragui usia perjalanannya. Tanpa iman di hati, sabar takkan bererti. Tanpa sabar iman takkan bermakna. Biarkan hati kita diterangi laluan yang sentiasa memujinya, tatkala kita melalui jalan itu,segala susah payah akan terbela. Tidak di dunia sekalipun, tapi Akhirat itu pasti!


“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.” Surah Al-Baqarah:155-157


Kesenangan di dunia tidak akan kekal selamanya. Titipkanlah dalam hati,biar kesenangan yang datang tidak akan menggelapkan iman, membutakan pandangan. Kemewahan itu antara lain adalah ujian buat kita. Tatkala kita ditimpa kemiskinan, diri mengeluh. Seolah-olah miskin itu membuatkan kita jauh dari-Nya.Ingatlah sesama kita. Ibadah bukan untuk dijual beli, nilainya pada pahala yang diberi daripada Yang Maha Menyintai. Kemewahan dunia bukan pada harta semata, tetapi kemenangannya pada orang-orang yang tetap mengerjakan solat dan diri yang penuh ketenangan. Ketenangan akan hadir sewaktu dalam diri yang menyintai ketetapan Allah.


“Dan (ingatlah), segala yang tersebut itu tidak lain hanyalah merupakan kesenangan hidup di dunia; dan (sebaliknya) kesenangan hari akhirat di sisi hukum Tuhanmu adalah khas bagi orang-orang yang bertaqwa.” Surah Az-Zukhruf:35




Al-Quran itu bukan setakat bacaan yang dilagukan lalu mencipta bait-bait yang syahdu didengari dan menusuk di jiwa. AlQuran itulah pemujuk kita. Walau dalam tangisan membaca amaran-amaran keras daripada Tuhan, masa yang sama diri akan redha dan tenang akan pujukan ayat-ayat Allah. Selagi nyawa belum berpisah, selagi itulah pintu taubat masih terbuka luas. Seandainya kita benar-benar memahami maksud kandungan AlQuran, akan bermain di fikiran betapa beratnya azab daripada Allah, betapa banyak dosa dalam diri. Tanyakan pada diri, berapa banyak kita melafaz kesyukuran dan menzahirkannya?

Sememangnya ayat-ayat itulah muhasabah terbaik buat manusia.Tangisan takkan berhenti mengenangkan nasib akhirat kelak.Tiada gunalah kecantikan diri jika sikitnya pahala untuk meniti titian mustaqim.


"Dan demi sesungguhnya! Kami telah berulang-ulang kali menyebarkan hujjah-hujjah di antara manusia melalui Al-Quran supaya mereka berfikir (mengenalku serta bersyukur); dalam pada itu kebanyakan manusia tidak mahu melainkan berlaku kufur." Surah Al-Furqaan:50



Cinta itu milik Allah. Segala yang di langit dan di Bumi milik Allah. Tiada yang kekal melainkan-Nya.Andai Dia menarik kembali nikmat yang diberikan, mungkin itu antara cara menyedarkan kita dan menambah pahala kita. Pelihara diri, saling berukhwah,ingat-mengingati. Permusuhan sesama saudara hanya membawa kemurkaan Allah. Kita semua inginkan syurga, namun mengapa membezakan dan membandingkan apa yang tersurat di pandangan kita, fikirkanlah apa yang tersirat. Pasti kekecewaan yang menggoyah iman tidak akan lahir. AlQuran benar-benar memujukku…meyakinkanku…


"Dan sesungguhnya (Al-Quran) itu tetap menjadi peringatan bagi orang-orang yang bertaqwa." Surah Al-Haqqah:48

"Dan sesungguhnya Al-Quran itu adalah kebenaran yang diyakini (dengan seyakin-yakinnya)." Surah Al-Haqqah:51


Wallahualam...

PadaMu

Friday, April 9, 2010

Terasa lama sungguh perjalanan harus kutelusuri… ranjau yg penuh duri… berdarah sudah kaki qudrat maknawi.. darah yg terus mengalir membasahi bumi.. baru sebentar lukanya kering, tercarik pula luka baru dan akhirnya… darah itu akan berhenti jua.. kerana kehabisan senafas hembusan rohnya…

Dalam diri, aku sering bertanya… bila lagi pederitaan ku ini akan berakhir… aku sendirian dalam keramaian… siapa yg bisa memahami jiwaku… ingin ku mengadu nasibku padanya…. “asyku bassi wa huzni ilallah…”

Janganlah sesekali makhluk bernama manusia akan memahami penderitaan dirimu.. janganlah sesekali kau mengharap belas dari mereka.. nescaya kau akan kecewa… akhirnya… kepada Dia sahaja tempat segala pengaduan… “Sesunguhnya Aku takkan berasa jemu sehingga engkau merasa jemu..”

Wahai hatiku.. bukalah pintumu seluasnya …menerima sakinah dari Tuhanmu..

Jihad kalamullah… teruslah walau luka itu kian berdarah.. kian parah.. bukankah syahid dambaanmu… sesuatu yg bernilai di sisi Tuhannya, pasti hebat ujiannya…

Hanya padaMu…

Kau Kerinduanku..

Tuesday, April 6, 2010

"Hidayah Allah seperti cahaya… tak menyapa kamar yang tidak dibuka jendelanya."
renungkanlah..


Semalam lenaku jaga..
Sedarku dalam lena..
Tiada dapat kuungkap kekosongan melanda jiwa..
Kusedari jua.. hadirnya cintaMu Allah..

Dalam kesunyian hati..
Membungkam rasa yang tiada..
Meragut sedar yang hilang..
Kaburku menerjah ingatan.. yang semakin sirna
Ku sirna dalam sinarMu, Kasih..

Bagaimana, Kasihku..
Kulakarkan sejernih Kasih buatMu..?
Maafkan daku.. andai masih tersisa ragu di hati..
Tiada sekali kuharap ia di situ..

Bagaimana lagi, Kasihku..
Ku khabarkan Cinta kudus buatMu..?
Ya Allah..
Tiadalah dapat kubalasi..
Segala kurnian nikmatMu..
Yang pastinya mengubat lara..

Di kala resah menerjah jiwa..
Di saat geringku bertandang..
Hanya Engkau maksud tujuanku..
Izinkan daku bertemu denganMu..
Kau Kerinduanku..


- جين -

Kehidupan Sejati

Friday, March 26, 2010

Assalammualaikum wr wb...

Bismillahirahmanirahim...

Sahabat...
Sebenarnya kita mudah lupa atau ada yang dah lupa dari mana datang dan asal diri sendiri, dan ke mana tempat akan dikembalikan setelah mati. Bahkan, ada yang langsung lupa bahawa ia akan mati. Sedangkan persoalan alam Akhirat amat dianjurkan agar diambil berat sehingga Allah mengingatkan kepada kita bahawa Akhirat itu lebih utama.

Firman Allah, maksudnya: “Dan Sesungguhnya kesudahan keaadaanmu (pada hari Akhirat) adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya (Dunia).” (Surah al-Dhuha [93]: 4).

Firman Allah, maksudnya: “Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?” (Surah al-‘Anam [6]: 32).

Firman Allah lagi, maksudnya: “Mereka itulah orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah Yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan.” (Surah al-Baqarah [2]: 86).

Firman seterusnya, maksudnya: “Sesungguhnya orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah Ali Imran [3]: 77).

Firman Allah, maksudnya: “…orang (yang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada (kesenangan) kehidupan dunia, hendaklah mereka berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu ia mati (gugur syahid) atau beroleh kemenangan, maka Kami akan memberi kepadanya pahala yang besar (di akhirat kelak).” (Surah al-Nisa [4]: 74).

Firman Allah lagi, maksudnya: “Orang yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat, dan menghalangi manusia dari jalan ugama Allah, serta menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong, mereka itulah orang yang terjerumus ke dalam kesesatan yang jauh terpesongnya.” (Surah Ibarahim [14]: 3).



Dan Allah juga mengingatkan bahawa setiap yang hidup pasti mati...

Firman Allah, maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. ketika itu sesiapa Yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka Sesungguhnya ia telah berjaya. dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi Segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang Yang terpedaya." (Surah Ali Imran [3]: 185).

Firman Allah, maksudnya: “Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadanya (untuk diberi balasan bagi Segala Yang kamu kerjakan).” (DSurah al-Baqarah [2]: 28).

Firman Allah, maksudnya: “Kemudian Kami bangkitkan kamu sesudah kamu mati (atau pengsan dari sambaran petir itu), supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah [2]: 56).

Firman Allah, maksudnya: “Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: ‘Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih ugama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu Dalam keadaan Islam’.” (Surah a-Baqarah [2]:132).

Firman Allah, maksudnya: “Wahai orang Yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah Dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan Dalam keadaan Islam.” (Surah Ali Imran [3]: 102).

Firman Allah, maksudnya: “Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, Iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah). dan (dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, Kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, Kami berikan behagiannya dari balasan akhirat itu; dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang Yang bersyukur.” (Surah Ali Imran [3]: 145).

Firman Allah, maksudnya: “…(tanda) orang (sabar) apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun" (Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya-lah kami kembali). Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah [2]: 156-157).

Firman Allah, maksudnya: “Hanya kepada Allah-lah kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu.” (Surah al-Maidah [5]: 48).

Firman Allah, maksudnya: “Wahai orang yang beriman, jagalah dirimu; tiadalah orang yang sesat itu akan memberi mudharat kepadamu apabila kamu telah mendapat petunjuk. Hanya kepada Allah kamu kembali semuanya, maka Dia akan menerangkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah al-Maidah [5]: 105).

Bagi orang yang fahami akan maksud firman-firman Allah di atas, maka lantaran itulah, ia tidak mudah terperangkap dengan setiap peritiwa dan kejadian yang terjadi di hadapannya atau ke atas diri kita sendiri, sehingga terputus hubungannya dengan Allah, tetapi sebaliknya ia segera hubungkan dengan Allah. Ia tidak bataskan "punca" atau "kaitan" kejadian dan peristiwa itu hanya dengan makhluk sahaja. Jika kita cuma melihat setiap kejadian hanya ada hubungan dengan makhluk sahaja (sedangkan ia cuma sebagai sebab sahaja), maka jadikan kita sebagai seorang yang terkongkong dan tidak merdeka. Kita lupa Allah-lah yang berkuasa dan penentu terhadap segala perkara, sama ada penentu nikmat atau bala atau ujian ke atas makhluk-Nya.



Ingatlah bahawa dunia ini penuh dengan ujian, khususnya orang yang dikasihi Allah, pasti banyak dengan ujian...

Marilah kita renung akan peringatan Rasulullah s.a.w. bahawa dunia ini ialah Negara bala dan ujian, kita akan fahami bahawa setiap makhluk yang hidup di atas muka bumi Allah ini tidak akan terlepas daripada ditimpa bala dan ujian. Bahkan dalam sebuah hadis Qudsi, Allah berfirman kepada hamba-Nya yang tidak sabar dengan ujian agar pergi mencari bumi lain yang bukan milik Allah. Kerana selagi berada di atas bumi miliki Allah, selama itu mereka tidak dapat mengelak daripada diuji.

Bahkan, semakin kuat iman dan dekat hati seseorang itu dengan Allah, maka semakin kuat ujian dan cubaan ke atasnya.

Saad bin Abi Waqqas berkata; “Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w. Siapakah yang paling berat cubaannya?” Rasulullah s.a.w. menjawab; “Para nabi, kemudian yang semisal mereka, dan yang semisal mereka. Seseorang akan diuji sesuai dengan kadar (keyakinan terhadap) agamanya. Jika agamanya baik dalam hatinya, maka dia akan menjadi orang yang berat ujiannya, dan jika agamanya agak tipis, maka sesuai dengan itu pula ujiannya. Begitulah ujian hidup, ia akan terus bersama seorang hamba, hingga ketika ujian itu pergi meninggalkannya, maka dia telah bebas berjalan di muka bumi ini tanpa ada kesalahan (dosa) lagi.” (Riwayat Tirmizi).

Abu Said al-Khudri berkata: Aku datang menemui Rasulullah s.aw. dan suhu tubuh Baginda s.a.w. sedang panas, lalu aku meletakkan tanganku di atas tubuhnya dan aku dapat merasakan panas tubuhnya dari atas selimut Baginda s.a.w. Lalu aku berkata: “Wahai Rasulullah, alangkah panasnya suhu tubuhmu?” Lalu Baginda s.a.w. menjawab: “Begitulah kami, cubaan bagi kami dilipatgandakan dan pahala bagi kami juga dilipatgandakan.” Aku bertanya lagi: “Wahai Rasulullah, siapakah yang paling berat cubaannya?” Baginda s.a.w. menjelaskan: “Para nabi.” Aku bertanya lagi: “Setelah itu siapa lagi?” Baginda s.a.w. menjelaskan: “Kemudian (diikuti) orang soleh, seandainya salah seorang di antara mereka diuji dengan kefakiran, maka kefakiran tersebut membuat mereka tidak mendapatkan kain yang dapat mereka pakai, dan jikalau mereka diuji dengan musibah, mereka akan merasa senang sebagaimana kamu merasa senang ketika mendapatkan kelapangan.” (Riwayat Ibnu Majah).

Sekian, wallahualam...

Sepertiga Malam:Cinta ku hanya milik MU

Wednesday, March 24, 2010

Bukan mudah Ya ALLAH…
Berdiri di tangga kemewahan, kenikmatan dan kesenangan
Keindahan dunia ini menganggu ku
Kemanisan hubbu dunya ini mencarik-carik imanku

Dimanakah aku tanpa kecintaan padaMU
Aku runsing Ya ALLAH
Aku berlari ke sana dan ke sini
Aku mencari dan terus mencari

Dimanakah ku tagih cinta Ilahi
Bagaimana harus ku bayar nikmat yang Kau beri
Sedang aku tidak diuji
Maka saat aku tidak diuji, adalah ujian yang terbesar sekali

Andai bisa aku berbicara denganMU
Dan ku harap Kau mendengar pengaduanku
Sungguh aku bukan bercakap kosong
Inilah keluhan hatiku
Yang merindu cinta MU, yang mengharap keredhaan MU….

Ampuni aku Ya ALLAH
Aku lemah lagi tak bermaya
Melawan sesuatu yang digelar fana dunia
Aku tak mampu Ya ALLAH,
Belenggu ini menghimpit ku…
Belenggu ini menghiburkan hatiku
Sehingga aku senang denganya
Sehingga aku takut kehilanganya
Sedang cintaMU itu sangat luar biasa…
Sedang cintaMU itu lebih dari segala-galanya…

Sungguh aku tak layak Ya ALLAH menghampiri syurgaMU
Dan pasti menggeletarlah seluruh tubuhku mendengarkan api nerakaMU
Lalu ke manakah langkahku
Selayaknya dimanakah tempatku
Atas redhaMU ya Rabbi.. aku hanya menuruti

Andai aku diseksa, kan aku patuhi
Asalkan Kau meredhai hidupku ini
Terima Kasih Ya ALLAH kerana sudi menyayangi diri ini
Terima Kasih Ya ALLAH kerana sering mendengar pengharapan serta pengaduanku
Terima Kasih Ya ALLAH kerana sering bersama-sama denganku,
tak kira apa keadaan imanku

Sesungguhnya Ya ALLAH,
cinta ku hanya milikMU…

Peringatan Diri;Amanah Tanggungjawab

Tuesday, March 23, 2010

Kita tidak meminta amanah dan tanggungjawab ini
Tetapi selagi mana kita bergelar manusia
Kita tidak dapat lari dari taklifan Allah ini
Sebagaimana firman Allah yang berbunyi:
"Allah tidak membebani seseorang melainkan dengan kesanggupannya"



Amanah ini mesti dilaksanakan
Kerana ia akan dipersoal dihadapanNya kelak
Laksanakanlah sebaik mungkin
Kerana Allah tidak bertanya
Adakah kita telah berjaya melaksanakannya
Tetapi apa yang ditanya ialah
Setakat mana kita telah berusaha untuk merealisasikannya....

Hati ini memerlukan kekuatan!

Monday, March 15, 2010

Ya Allahu Ya Aziz,
Aku hambamu yang lemah,
Hati ini memerlukan kekuatan,
Untuk menghadapi sisa-sisa hidup,
Yang sukar dibatasi,
Kerna kemodenan arus duniawi,
Yang semakin hapus kearah ukhrawi.

Ya Allahu Ya Malik,
Pohon ku di dunia ini,
Kuatkan semangat hambamu yang beriman,
Dalam mengatur langkah di dunia ini,
Agar mereka menjadi contoh,
Teladan kepada setiap insan,
Yang menghampiri kelalaian terhadapMu.

Ya Allahu Ya Qahhar,
Kuatkan hati setiap muslim didunia ini,
Teguhkanlah iman mereka,
Agar mereka terus menerus memujiMu,
Izinkan mereka mendapat hidayahMu,
Sebenar-benar hidayah.
Penuhilah hati para muslim,
Dengan limpahan hidayah mu yang agung,
Agar mereka dapat memujiMu Ya Allah.

Ya Allahu Ya Hafiz,
Peliharalah hati kami ini,
Agar tidak dilimpahi dengan maksiat,
Peliharalah hati kami dari segala noda dunia,
Limpahilah hati kami dengan iman,
Peliharalah kami dari kesesatan dunia,
Yang dipenuhi segala mara bahaya.

Ya Allahu Ya Mujib,
Kabulkanlah permintaan hambaMu ini,
Agar kami semua dilimpahi nur iman Mu,
Pimpinlah kami kejalan yang diredhaiMu.

Isikan hati kami dengan kebaikan agamaMu,
Lembutkan lidah kami untuk memujiMu,
Indahkanlah mata kami melihat ciptaanMu,
Maniskan mulut kami ketika menikmati rezekiMu,
Gagahkanlah kaki kami ketika berjalan untuk keredhaanMu,
Merdukanlah telinga kami ketika mendengar ayat-ayatMu,
Sinarilah kehidupan kami dengan nur iman Mu,
Bersihkan hati kami untuk menggapai redhaMu.

Berilah kekuatan untuk hambaMu ini,
Untuk meneruskan perjuangan ini,
Demi kemuliaan agamaMu Ya Allah

Aku Masih Mengharap Rahmat Mu

Saturday, March 13, 2010
"Ya ALLAH, kepadaMU aku mengadu kelemahanku, kekurangan daya-upayaku dan kehinaanku pada pandangan manusia. Ya Arhamarrahimin! Engkaulah Tuhan orang yang ditindas. Engkaulah Tuhanku. Kepada siapakah Engkau menyerahkan diriku ini, kepada orang asing yang akan menyerang aku atau kepada musuh yang menguasaiku? Sekiranya Engkau tidak murka kepadaku maka aku tidak peduli. Namun, afiatMu sudah cukup buatku. Aku berlindung dengan nur wajahMu yang menerangi segala segala kegelapan dan teratur di atas nur itu urusan dunia dan akhirat, daripada Engkau menurunkan kemarahanMu kepadaku atau Engkau murka kepadaku. KepadaMulah aku tetap merayu sehingga Engkau reda. Tiada sebarang daya (untuk melakukan kebaikan) dan tiada upaya (untuk meninggalkan kejahatan) kecuali denganMu."





Tiada siapa yang dapat merasa terlalu rendah dan terlebih hina diri selain mukmin yang selalu merasa hina didepan Khaliqnya.

Dia tak akan terasa hina jikalau manusia lain memanggilnya binatang melainkan Khaliqnya yang menganggap dirinya selayak binatang ternak atau lebih daripada itu. Kalau manusia mengatakan bahawa dia tidak mempunyai perasaan, dia menerimanya dengan redha kecuali Allah mengatakan dia tak punyai jiwa dan perasaan. Kerana perasaannya selalu hidup dengan zikir kepada Allah..dia akan merasa lemah dan longlai jika Khaliqnya membiarkan dirinya keseorang tanpa pertolongan..kerana pertolongan yang dia harapkan itu hanyalah dari Khaliqnya semata bukan kepada makhluk yang diciptakan oleh Khaliqnya.

Itu adalah definisi yang sesuai untuk sesuatu pengharapan yang perlu aku lalui! Perlu aku kecapi agar apa yang kuharapkan nanti tak terbabas dari jambatan Sirat di Hari Akhirat kelak! Aku tidak salahkan Engkau Ya Allah, kerana aku yang bersalah. Biarkan saja air mataku yang tidak tahan ujian-Mu ini menitis dengan apa yang telah Engkau uji perkara yang aku lalui selama ini...biarkan saja ia menitis..

Ya Allah...Walaupun kehidupan ini Engkau jadikan ianya terlalu perit, aku terpaksa menempuhnya demi kebahagiaanku di Hari Akhirat kelak kerana aku tahu semua ini adalah ujian-Mu untuk mengujiku adakah aku selayaknya digolongkan dalam hamba-hamba-Mu yang baik amalannya seperti Engkau nyatakan dalam surah al-Mulk. Aku tidak akan merasa terhina jika aku dimaki, aku tidak akan terasa terhina jika aku ditengking oleh sesiapa sahaja kecuali jika aku di maki dan ditengking oleh-Mu Ya Allah..aku merasa tiada sesiapa lagi hendak aku harapkan sekiranya Engkau melemparkan aku jauh daripada rahmat dan kasih sayang-Mu Oh Tuhan..

Benarkan aku menyeberangi jambatan Sirat-Mu nanti dengan penuh kejiwaan dan perasaan tenang

Ya Allah, Ya Tuhanku..
janganlah kiranya Engkau biarkan aku berbicara dan berbisik pada air jiwa yang berkocak dalam lautan dadaku dan air mataku yang menitis, di mana hatiku akan berkata :

"Ya Allah..adakah tiada lagi pengharapan untuk jiwa yang mati ini kerana aku masih memerlukan rahmat dan maghfirah-Mu, Ya Tuhanku.."

Awan Itu Hitam...


Bismillahirrahmanirrahim...


Awan hitam yang berarak, membawa seribu petanda, entahkan sedih, entahkan gembira, tapi jelas ia membawa satu makna, membuktikan kepada kita yang ‘DIA’ Maha Berkuasa. Namun kerana ledakan keinginan melihat mentari cemerlang menyinar berpanjangan, tetapi awan hitam bersenandung datang menutupi sinar mentari, membuatkan manusia terpinga-pinga, melihat awan hitam mencurahkan isinya, rintikan hujan yang berleluasa lebatnya....

Ada yang menilainya sebagai sebuah kenikmatan, tak kurang juga yang menganggapnya satu penderitaan. Namun semuanya terpulang kepada kecetekan ilmu dan keteguhan iman, berhadapan depan setiap cabaran yang datang. Jelas semuanya membuktikan kebijaksanaan ‘Dia’ yang Maha Merancang. Bukankah dia pernah berkata : “Patutkah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan Dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan Demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang Yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian Yang demikian), nyata apa Yang diketahui Allah tentang orang-orang Yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa Yang diketahuiNya tentang orang-orang Yang berdusta.” Surah al-Ankabut : 2-3

Ada masa manusia itu rasa, yang dia mampu berhadapan dengan ujian yang kunjung tiba, berbekalkan segunung ilmu yang dirasakan cukup untuk dijadikan sebagai benteng pertahanan, tapi dia terlupa, benteng pertahanan itukan rapuh, andai tidak disadur dengan besi keimanan. Tapi tidak bermakna dia boleh berlepas tangan, tidak mencari ilmu, hanya menumpukan kepada soal keimanan.

Hahaha.... Mana mungkin ini berlaku, untuk mengetahui iman, bukan hanya perlu menanti ia datang bergolek dan melayang, tapi perlu dicari, diselusuri definisi iman itu sendiri, kekadang ia memerlukan pengorbanan yang tinggi, menjelajah ke seluruh negeri untuk mencari apa itu iman.... dengan kata lain, ilmu itu amat diperlukan. Ilmu menjadi kekuatan dalam mengecapi kemanisan iman, tanpa ilmu, tiada maknalah hidup di dunia. Tanpa iman, manusia itu umpama seorang buta, walaupun kedua matanya celik memerhati segalanya.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, daripada Anas bin Malik : “Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap muslim." (riwayat Bukhari & Muslim)

Terasa bagaikan diri ini tidak berguna, walaupun telah aku ketahui yang ku lakukan ini suatu kesalahan, tapi kerana lazatnya nikmat dunia, ku pejamkan mata, ku lupakan dosa, dan akhirnya aku juga yang menyesal, tapi segalanya tidak berguna. Kerana, iakan berulang kembali, kerana kelazatan dosa itu, amat mengasyikkan. Aduhai diri, tiada guna kau banyak membaca buku-buku agama mendalami ilmu yang berbagai, berceramah dan bertazkirah ke serata dunia, andai dosa sekecil ini tak mampu kau hindari.

Bukankah kau tahu, bahawa ilmu yang tidak diamalkan adalah sia-sia, umpama petani yang menanam pepohon yang tidak berbuah... sedarlah... tidak bermakna kau berilmu dan kau tahu, kau boleh terlepas daripada hisab, lalu kau sangka kau boleh menjawab setiap persoalan Munkar dan Nakir kelak. Innalillah... bersedihlah pada dirimu... kasihanilah dirimu ini... hinalah dirimu ini....

“Wahai orang-orang Yang beriman! mengapa kamu memperkatakan apa Yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu Yang kamu tidak melakukannya.” Surah as-Saff : 2-3

Ingatlah wahai engkau yang pelupa, Dengarlah dan tampal peringatan ini dalam hatimu, agar kau tidak mengulangi lagi kesalahanmu itu. Celaka kau andai kau terus leka dengan nikmat dunia. Berusahalah, dan teruskan berdoa, Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lahi Maha Penyayang kepada hamba-hambanya yang sentiasa bertaubat.


Wassalammualaikum wr wb...

Tertegun Aku Pada Yang Maha Penyayang!!!

Thursday, March 4, 2010



Assalammualaikum wr wb....

Bismillahirahmanirahim....


Tertegun aku, kini dihadapanku segala bukti bahawa Dia amat mengasihi aku, menyayangi. Kasih sayang Nya tiada berbelah lagi… betapa hebatnya kasih sayangnya kepadaku, biarpun aku sentiasa terlupa dan leka untuk mengingati Nya, tapi dia sentiasa memerhatiku dengan penuh kasih sayang. Tiada gurisan dendam mahupun kemarahan, tapi segalanya adalah kasih sayang dan lafaz cinta dan kasihNya Dia kepada ku…. Betapa aku tidak tahu menghargai kewujudan Nya… zalimnya aku pada Dia… kejamnya aku…!!!


“…Allah mengetahui bahawasanya kamu tidak dapat menahan nafsumu, kerana itu Allah mengampuni kamu dan memberi maaf kepadamu…" Surah al-Baqarah : 187


Dia telah tahu, Dia dah tahu yang aku akan melupakannya, yang aku akan mengendahkan Nya, tapi Dia tetap seperti itu. Tidak pernah membenciku, tidak pernah membalas perbuatanku dengan menzalimiku, walhal Dia mampu. Dia MAMPU!!! Sekelip mata Dia mampu menghancurkan aku.


Tetapi mengapa???
Dia tidak melakukan seperti itu. Bahkan Dia amat mengasihi ku, menyayangiku. Pabila aku terus leka, Dia ingatkan ku, memberi teguran kepadaku, bila aku terus lena dengan asyik dunia, Dia segera sedarkan ku ke alam nyata...


Dia sentiasa ada bersamaku, setiap masa, setiap waktu, di mana sahaja aku berada, dan apa jua keadaanku, Dia pasti ada disampingku...



Tatkala aku gembira, Kau katakan kepada ku :

“Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu dan itulah kemenangan yang besar.” Surah at-Taubah : 111


Kau janjikan aku dengan suatu janji yang menambahkan kegembiraan ku lagi :

“Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, maka mereka bergembira dalam taman syuraga.” Surah ar-Rum : 15




Pabila aku bersedih atau ditimpa masalah, kau katakan pada diriku.

“Wahai sekalian orang-orang Yang beriman! mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah Dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) Dengan bersabar dan Dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana Sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang Yang sabar.Surah al-Baqarah : 153


Dan Kau ingatkan aku dengan doa Ya’qub kepada mu,

“Ya’qub menjawab : ‘Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku.” Surah Yusuf : 86


Dan kemudian kau gembirakan hatiku dengan khabar-khabar yang gembira,

“...., maka barang siapa yang mengikuti petunjuk-Ku, nescaya tidak ada kekhuatiran atas mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati.”
Surah al-Baqarah : 38

“Dan barang siapa yang taat kepada Allah dan rasul-Nya dan takut kepada Allah dan bertaqwa kepada-Nya, maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan.”
Surah an-Nur : 52


Maha Suci Engkau Ya Allah, Engkau Maha Hebat, Maha Bijaksana dan Maha Perkasa...



“Dan kemenanganmu itu hanyalah dari Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” Surah al-Imran : 126



“Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam.Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang. Pemilik hari pembalasan. Hanya kepada Engkaulah kami sembah, dan hanya kepada Engkulah kami mohon pertolongan. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus. (iaitu) Jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepadanya, bukan (jalan) mereka yang dimurkai, dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.” Surah al-Fatihah : 1-7




Segala puji bagi Allah, tetapkan hatiku agar aku selalu bersyukur kepada-Mu. Hujanilah aku dengan maghfirah-Mu. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.



Wassalammualaikum wr wb..

Kembali Pada-Mu

Monday, March 1, 2010

Bismillahirrahmanirrahim...

Alangkah susahnya mendidik hati...
Sedangkan ia adalah pandangan Tuhan...
Menjadi wadah rebutan malaikat & syaitan...
Alangkah susahnya mendidik hati...
Bila dipuji sombong mengisi diri...
Bila diuji pencaci dibenci...
Hingga berdendam sampai mati...
Didiklah hati...
Menuju jalan kebenaran...
Demi mencari redha Ilahi...

Allahu ma'i,
Allahu nazirun ilayya,
Allahu syahidi...

Manusia adalah insan kerdil yg cenderung melakukan kesilapan,
Berdampinglah kamu dgn insan-insan yang mampu menasihatimu apabila kamu melakukan kesalahan,
Serta insan yang mampu menerima teguran apabila dia melakukan kesilapan,
Kerana manusia itu diciptakan saling memerlukan antara satu sama lain..

Sahabat...
Jika hari ini aku terlalu gembira..
Sedarkanlah aku dengan amaran-amaran Allah..
Jikaku bersedih tanpa kata...
Pujuklah aku dengan tarbiyah Pencipta..
Jikaku lemah tak berdaya..
Ingatkanlah aku dengan kehebatan Syurga..
Jika antara kita ada tembok yang memisah...
Ajaklah aku meleraikannya segera..
Jika pernah hatimu terluka disebabkan daku...
Luahkanlah agar aku mengubah diriku..
Dan jika esok kulena tanpa terjaga..
Iringilah lenaku dengan kalungan doa..
Semoga ukhwah sentiasa dipeliharaNya...

Ingatlah,
Dalam kita melangkah...
Terkadang di uji dgn ujian yg terasa berat hingga kita terduduk & menangis...
Peritnya terasa...
Tapi ketahuilah & renungilah kembali ke dalam diri kerana mungkin air mata ketika itu hadir kerana DIA mahu kita menjahit kembali...
sejarah iman yg kian terkoyak
Lantaran ada langkah-langkah yg tersasar dari keikhlasan...
Semoga kita tabah & ditetapkan iman...

Ya Allah,

Sesungguhnya kerana Mu lah kami di sini,
dan sesungguhnya, kepada Mu lah kami Kembali,
Maka,
Bila tiba saatnya nanti,
Sehingga tiba detik itu,
Ku mohon agar Kau pelihara lah diri kami ini...

Ameen~