Jin

My photo
"يا الله، اكو مموهون كڤد-مو اونتوق منچينتاي-مو، منچينتاي سياڤا سهاج يڠ منچينتاي-مو، سرتا منچينتاي ڤربواتن يڠ مڠهانتركن داكو اونتوق منچينتاي-مو."- نبي داود اس

Berubah Kehidupan

Thursday, June 10, 2010

Assalammualaikum wr wb..

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah kini saya kembali lagi menulis di blog JIN BERBISIK yang telah lama ditinggalkan bersawang. Maaf kan saya wahai sahabat sekalian, alhamdulillah kini saya menulis kembali. Mungkin dalam mengubah kehidupan kearah yang lebih baik mencabar masa saya dan masa tidak pernah cukup pada saya. InsyaAllah akan saya teruskan perjuangan ini..

Hidup ini memerlukan perubahan ke arah lebih baik dalam semua keadaan. Kualiti kehidupan, baik yang berkaitan kehidupan di dunia maupun di akhirat, perlu ditingkatkan setiap masa. Sikap mudah berpuas hati dan tidak mahu berusaha lagi perlu dibuang jauh-jauh.

Tuntutan memperbaiki diri meliputi semua perubahan atau pertukaran daripada yang buruk kepada baik, dan daripada baik kepada lebih baik lagi. Kehidupan ini tidak sepatutnya dibiarkan statik biarpun telah berada di tahap yang baik. Usaha ke arah itu memerlukan satu daya kesedaran yang berterusan untuk membentuk kemampuan yang boleh melonjakkan diri melepasi halangan yang terbentuk dalam diri dan persekitaran. Tidak dinafikan, usaha untuk berubah bukan satu perkara yang mudah. Terdapat banyak halangan yang menjadikan usaha itu terbantut. Sebab itu, berubah kepada kebaikan termasuk dalam tugas jihad. Semangat yang teguh diperlukan untuk berubah. Halangan biasa menjadikan manusia tidak berdaya berubah memperbaiki diri ialah sifat malas, kejahilan, nafsu dan kurang keyakinan diri. Tambah lagi, syaitan sentiasa membisikkan dalam diri agar meninggalkan kebaikan, dan sebaliknya melakukan kejahatan. Selain halangan dalam diri, terdapat juga halangan persekitaran yang menggagalkan niat untuk berubah. Halangan itu biasanya pengaruh rakan, budaya masyarakat, tiada sumber kewangan dan kejadian semuajadi di sekeliling.

Kejayaan tidak mungkin dicapai jika sekadar melakukan usaha separuh hati dan tanpa perancangan yang teliti. Individu yang ingin berubah menuju kehidupan dengan lebih nilai kebaikan perlu menanam tekad, iltizam, keazaman dan keikhlasan yang kuat untuk melakukannya. Bertaubat juga sebahagian daripada cara untuk memperbaiki diri. Sesiapa yang bertaubat bermakna berubah dari keadaan berdosa kepada diampunkan dosanya. Orang yang bertaubat juga berubah meninggalkan perbuatan buruk yang dilakukan sebelum itu.


Maksud hadis Rasulullah: "Orang yang berhijrah itu adalah mereka yang meninggalkan perbuatan dosa." (Hadis riwayat Ahmad).


Niat dan usaha hendak memperbaiki diri perlu dilakukan sedari awal dan tidak hanya menanti apabila usia memasuki usia senja. Banyak orang memberi alasan ingin bebas berseronok ketika usia muda. Usia muda masa terbaik untuk mengumpul lebih banyak pahala. Ketika itu tenaga masih kuat. Daya ingatan tajam dan mudah mengingati apa yang dilakukan. Semangat orang muda juga berkobar-kobar untuk melakukan sesuatu yang diingini. Orang muda biasanya belum mengidap penyakit berbahaya yang biasanya menghalang seseorang daripada bergerak bebas. Ketika usia muda, tumpuan lebih dapat diberikan untuk membina landasan kehidupan yang lebih baik.

Peluang ini wajar direbut sepenuh sebelum tiba masa tua yang mana lebih banyak halangan untuk beribadat seperti kurang tenaga, penyakit, ingatan tidak tajam, dan tanda-tanda lain yang dikaitkan dengan usia tua. Malah, banyak orang yang menghabiskan hari tua dalam keadaan nyanyuk. Dalam keadan begitu bagaimana hendak memperbanyakkan ibadat. Urusan kehidupan yang biasa pun tidak dapat diuruskan dengan baik.


Masa muda termasuk perkara yang perlu direbut sepertimana sabda Rasulullah yang bermaksud: "Rebutlah lima kesempatan sebelum datang lima yang lain; iaitu masa mudamu sebelum tiba masa tuamu, masa sihatmu sebelum datang masa sakitmu, masa kayamu sebelum datang masa fakirmu, masa lapangmu sebelum tiba masa sibukmu, dan masa hidupmu sebelum datang kematianmu." (Hadis riwayat Tirmizi).


Usaha untuk berubah kepada kebaikan memerlukan pengorbanan dan bukan sekadar angan-angan. Sekiranya ingin berubah tidak perlu menanti masa tua. Individu yang benar-benar ikhlas untuk berubah tidak menangguhkan masa. Tambahan, usia kita semakin menunju penghujung, tidak tahu berapa lama lagi peluang untuk terus menyedut udara nyaman di dunia ini. Berhati-hatilah, kita tidak mengetahui berapakah lagi usia yang berbaki. Sesungguhnya nafsu tidak mengenal usia. Kekuatan nafsu tidak berkurang dengan bertambahnya usia seperti berkurangnya tenaga, daya penglihatan dan daya pendengaran. Nafsu masih ingin kepada keduniaan biarpun ketika hampir menemui maut.


Sabda Rasulullah bermaksud: "Anak Adam boleh tua, tetapi akan tetap tinggal bersamanya dua perkara iaitu kemahuan keras (nafsu) dan panjang angan-angan." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).


Untuk mendidik nafsu perlu dilakukan secara berterusan. Rasulullah menjelaskan dorongan nafsu adalah sebahagian daripada penyakit yang menyebabkan banyak berlaku kerosakan dan penderhakaan. Penyakit nafsu tidak dapat disembuhkan melainkan melalui peningkat keimanan dan ketakwaan. Ini perlu dilakukan dengan asuhan iman yang dilakukan secara berterusan bermula sejak usia kanak-kanak, disuburkan ketika alam remaja dan diteruskan ketika meniti alam kedewasaan.


Sabda Rasulullah bermaksud: "Sesungguhnya umatku akan ditimpa oleh penyakit umat-umat dahulu; sombong, suka bermegah-megah, mengumpulkan kekayaan (dengan cara yang tidak sah), berlumba-lumba merebut kemewahan dunia, pulau memulau, saling berdengki hingga mengakibatkan berlakunya penderhakaan dan keadaan kacau bilau." (Hadis riwayat Hakim).


Bagi memastikan kehidupan sentiasa dalam keredaan Allah, diri perlulah sentiasa dikuasai oleh akal dan bukannya nafsu. Akal akan menyuruh manusia melakukan kebaikan dan menolak daripada melakukan kejahatan. Dengan kekuatan akal yang dikuasai perasaan keimanan akan sentiasa menetapkan tujuan hidupnya untuk menemui Allah dengan keadaan yang sempurna amalan kehidupan di dunia ini. Atas matlamat itu kehidupan yang dilalui penuh bermakna dan tidak tergelincir daripada landasan keimanan. Berubah meninggalkan kepalsuan dan dosa adalah sebenar-benar tanda keimanan. Hakikatnya tiada untungnya bagi sesiapa yang merebut dunia dan meninggalkan akhirat kerana akhirnya tetap akan merasakan kerugian yang tidak dapat ditebus lagi apabila diri sudah berada pada hari pembalasan.


Renungkan Firman-Nya yang bermaksud: "Apakah kamu berpuas hati dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanya sedikit." (Surah at-Taubah, ayat 38).


Sesiapa juga hidup di dunia ini tidak sunyi daripada melakukan kesalahan dan dosa. Sebab itu Allah membenarkan taubat sebagai pembersih diri. Jika diri tersalah memilih jalan dosa, bersegeralah berubah memilih jalan yang sebenarnya. Mari kita sama-sama berubah ke arah kebaikan. Tidak kiralah berapa banyak perubahan itu dicapai, asalkan perkara itu dilakukan secara berterusan. Islam menganjurkan agar mengamalkan sikap istiqamah dalam melakukan sesuatu kebaikan.


Sekian,
Wallahualam...

0 comments:

Post a Comment