Jin

My photo
"يا الله، اكو مموهون كڤد-مو اونتوق منچينتاي-مو، منچينتاي سياڤا سهاج يڠ منچينتاي-مو، سرتا منچينتاي ڤربواتن يڠ مڠهانتركن داكو اونتوق منچينتاي-مو."- نبي داود اس

Ahlan Ya Ramadhan!!

Tuesday, August 10, 2010

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalammualaikum wr wb...

Marhaban Ya Ramadhan, Marhaban Shahru Siam, Nas alullaha Rahman, Rahmatan ‘Ala Dawam.. Saban hari penuh dengan kesibukan, diri agak alpa tentang kehadiran tetamu agung yang sentiasa dinantikan oleh umat Islam dari seluruh pelusuk negara. Tetamu yang sentiasa datang bertandang selama sebulan pada setiap tahun di setiap hati sanubari umat Islam, mudah-mudahan kita sudah bersedia menerima kehadiran tetamu agung ini. Samada kita bersedia atau tidak ianya tetap akan datang mengunjungi kita. Kehadirannya sangat bermakna kerana dijanjikan pelbagai anugerah bagi mereka yang bersedia menerima kunjungannya. Itulah bulan Ramadhan, tetamu istimewa yang dimaksudkan, sentiasa datang dengan janji-janji Allah Taala untuk ditunaikan kepada mereka yang mentaatiNya.


“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” (QS.Al-Baqarah:183)


Maha Suci Allah SWT yang masih lagi memberikan kita peluang untuk menghirup udara segar di bulan ramadhan ini. Bulan mulia yang sentiasa dinanti-nantikan kehadiran dan kemunculannya. Bulan yang datang dengan rahmat yang seluas-luasnya. Bulan yang menjamin kebaikan yang tak ternilai dengan kata-kata. Bulan yang menjanjikan pengampunan segala dosa. Bulan yang dijadikan sebaik-baik pendidik manusia. Bulan yang kembali menautkan ikatan kuat ketergantungan dengan yang Maha Esa. Bulan yang kembali menguji keteguhan ‘baraah’ (keterlepasan) dari segala makhluk dan ilah (tuhan) selain Allah yang Maha Kuasa. Bulan sebaik-baik bulan dan semulia-mulianya.

Tatkala kita hanyut dalam tugasan seharian kita, waktu yang tidak pernah kenal erti letih atau rehat terus sahaja berlalu menghantarkan kita ke putaran demi putaran yang dengan tiba-tiba mengejutkan kita dari hanyutan itu. Kita pun sambil kaget kebingunan tiba-tiba berada di dalam bulan baru yang mulia. Sebegitu dahsyat tugasan mengalpakan kita dan sebegitu konsisten waktu melaksanakan tugasnya tanpa sedetik pun peduli terhadap kita.

Ramadhan datang dan pergi. Eid disambut silih berganti. Ya, tentunya bersama dengan umur yang kian bertambah setiap kali. Kali ini ramadhan datang lagi. Akankah kita membiarkan dia datang lalu menyambutnya seperti tahun-tahun dahulu? Ataukah kita akan menyediakan kejutan baru dan layanan yang lebih baik dibanding tahun-tahun sebelumnya?

Begitu ramai yang sudah pun memberi ceramah akan fadhilat dan kelebihan bulan yang mulia ini. Tidak ketinggalan buku, brosur, risalah, majalah, blog dan sebagainya semua sudah mula memperkatakan dan menuliskan pahala-pahala, keutamaan-keutamaan, kelebihan-kelebihan dan segala yang berkait dengan bulan mulia ini.

Pertanyaan yang ingin saya tanyakan kepada diri saya adalah sejauh mana diri kita benar-benar bersungguh-sungguh dan serius dalam menerima kehadiran ramadhan ini?

Tanpa perlu mengetahui berapa banyak pahala sebuah huruf jika dibaca, adakah kita mahu membaca!? Ertinya, kalau pun kita tahu berapa banyak sekali pun ganjaran yang bakal kita terima tetapi kita tidak melakukannya, maka pengetahuan kita itu sama sekali tidak menguntungkan kita. Berbeza dengan seorang yang tidak pun tahu kelebihan dan lipat ganda ganjaran bacaan Al-Quran pada bulan ramadhan akan tetapi dia melakukannya, maka dia jauh lebih beruntung.

Cabaran hebat khususnya bagi pelajar-pelajar agama lebih-lebih lagi yang berada di tanah arab bagi menghadapi permasalahan ini. Permasalahan menukar tahu menjadi mahu melakukan. Menukar maklumat menjadi amalan.

Ingin sekali saya mengajak diri saya dan semua yang membaca tulisan ini untuk sama-sama kita tanya diri kita adakah kita mahu merangkak, berjalan atau berlari? Kemudian kita tanyakan kepada diri kita sejauh mana jarak yang ingin kita capai? Tanyakan juga sebanyak mana yang ingin kita dapat? Semuanya terletak pada diri kita semua.

Allah SWT ketika ingin mendidik hamba-hambanya dengan menghadirkan ‘camp ramadhan’, membuka pintu syurga yang dipenuhi dengan rahmat dan segala kenikmatan dengan sebesar-besarnya dan menutup pintu neraka yang penuh dengan segala jenis azab, keburukkan, kejelekkan dan segala perkara yang tidak baik di dalamnya. Iblis dan keturunannya turut diikat. Seakan-akan dalam madrasah ramadhan ini semuanya basyir, basyir dan basyir tanpa harus ada nazir. Seakan semuanya kabar gembira tanpa peringatan.

Mana sisi relevannya sistem tarbiah yang begini?

Ia jelas menunjukkan betapa pentingnya usaha untuk mendidik manusia agar buat kerana mahu dan bukan kerana terpaksa. Anda ketika meninggalkan suatu yang fardhu akan mendapatkan azab. Ia menyebabkan anda mahu tak mahu terpaksa mahu kerana jika tidak azab menanti. Di madrasah ramadhan amalan dilipat gandakan ganjarannya ke tahap yang tidak dapat dibayangkan mewahnya. Amalan sunat sahaja bakal berubah nilai ganjarannya menjadi seperti ganjaran amalan fardhu. Amalan fardhu pula berlipat kali ganda ke tahap yang tidak dapat kita bayangkan. Seorang yang waras akan merasa rugi jika peluang mengumpulkan pahala ini tidak dimanfaatkan dengan baik. Namun tidak semua orang punya nyali untuk melakukannya dan untuk benar-benar berusaha mendapatkannya. Nah, yang mendorong adalah kemahuan bertindak itu. Maka yang dilatih dalam madrasah ramadhan ini adalah kerelaan bertindak, kesudian melaksanakan, dan keikhlasan beribadat. Yang dilatih adalah upaya menimbulkan “kemahuan melakukan” di dalam diri. Ynag dilatih adalah “kerelaan menderita” demi suatu yang diinginkan. Yang dilatih adalah “semangat perjuangan” untuk pembuktian cinta.

Usaha peningkatan taraf perlu sentiasa ada. Jika tahun lepas kita mencapai ke tahap tertentu, pastinya tahun ini kita perlu mencapai tahap yang lebih baik. Paling tidak kita perlu ada semangat dan keinginan untuk mencapai ke tahap yang lebih baik. Ya, kita perlu sedari bertambahnya tahun bertamabah jugalah beban dan amanat. Mungkin jika dulu kita tidak terlalu sibuk sekarang kita sudah semakin sibuk. Namun, dalam kamus muslim, kesibukkan bukan alasan akan tetapi usaha itu yang kita inginkan. Orang yang membaca satu juz satu hari dalam keadaan mencuri-curi waktu adalah lebih baik dari orang yang baca tiga juz namun sehari suntuknya digunakan untuk tidur. Maknanya, Allah SWT tidak akan zalim kepada kita kerana dia Maha Tahu dan Maha Adil. Dia tahu siapa yang diberi peluang waktu dan siapa yang tidak. Orang yang diberi keluangan waktu tetapi membaca tiga juz sahaja sehari mungkin menjadikan jumlah bacaan itu sedikit kerana bandingannya adalah masa luang yang Allah SWT peruntukkan kepadanya. Berbeza dengan seorang yang terpaksa mencuri untuk membaca dua tiga ayat tatkala menunggu lampu isyarat bertukar hijau lalu hanya berjaya mendapatkan satu juz sahaja sehari. Tentunya jumlahnya sangat sedikit dibanding dengan tiga juz sehari akan tetapi cuba kita nilai perjuangan dan kegigihan usaha antara keduanya. Siapa sebenarnya yang sedang berjuang mati-matian antara kedua orang tadi?

Usaha peningkatan taraf tidak selamanya dihitung secara matematik. Tetapi perlu dihitung dari segi kegigihan usaha dan kesungguhan berjuang. Tiga juz tahun depan dan dua juz tahun ini belum tentu menurut, walau pun dari segi matematiknya jelas menunjukkan penurunan bilamana faktor kesibukkan dan tanggung jawap diambil kira. Maka, diawal ramadhan ini sudah selayaknya kita sama-sama pasakkan niat dan tencapkan semangat untuk mencapai tahap yang jauh lebih baik dari ramdhan yang lalu.

“In ahsantum ahsantum li anfusikum wa in asa’tum falaha”

Allahummarhamna fi ramadhan. A’inna ala zikrika wa syukrika wa husni ibadatika, wa tahqiqil juhdi limardhotika fi hazassyahril karim. Allahumma innaka ‘afuwwun karim tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘anna..”

Selamat Berpuasa!!


Wassalammualaikum..

0 comments:

Post a Comment