Jin

My photo
"يا الله، اكو مموهون كڤد-مو اونتوق منچينتاي-مو، منچينتاي سياڤا سهاج يڠ منچينتاي-مو، سرتا منچينتاي ڤربواتن يڠ مڠهانتركن داكو اونتوق منچينتاي-مو."- نبي داود اس

Tazkirah; Pertengahan Ramadhan

Thursday, August 26, 2010

Bismillahirahmanirahim

Assalammualaikum wr wb

Salam Ramadhan sahabat semua.

Kita sudah melewati pertengahan Ramadhan. Terlalu cepat masa berlalu. Hari-hari di bulan mulia ini terus meniti waktu seperti selalunya. Terlalu pantas; tidak terasa ia pergi. Lazimnya, kita hanya menyedarinya sudah kehilangannya bila kita duduk merenung dan menghitung-hitung apakah peningkatan amal ibadah di bulan Ramadhan kali ini berbanding Ramadhan tahun lepas.

Semakin terasakah nikmat kita berpuasa di siang hari? Apakah malam kita masih meriah dengan solat yang panjang?

Sesungguhnya, Ramadhan bukan sekadar menghidupkan malam, siangnya kita berlapar-laparan dan berletih-letih. Tetapi Ramadhan adalah untuk menghidupkan fikiran, hati dan jiwa dengan rasa bertuhan.

Ramadhan sebenarnya hendak memeriahkan jiwa dengan rasa kehambaan, rasa hina, rasa lemah dan rasa kerdil di hadapan Allah, tuhan yang Maha Berkuasa. Ramadhan hendak mengimarahkan jiwa dengan rasa rendah diri, takutkan Tuhan, cintakanNya.

Berdiri, rukuk, bersujud, bertasbih di dalam solat yang panjang di malam-malam Ramadhan janganlah hanya sekadar memeriahkan malam yang suram, tetapi ia sepatutnya menjadi bukti syukur seorang hamba kepada Penciptanya.

Terlalu besar nikmat Allah yang kita terima. Jika kita cuba hendak menghitungnya, pasti sepanjang hayat tidak akan selesai. Begitu juga jika kita ingin berterima kasih kepada-Nya, sepanjang hayat tidak mampu berbuat demikian yang sepadan dengan nikmat itu.

Rasulullah cuba melahirkan rasa syukurnya terhadap nikmat Allah dengan bersembahyang pada waktu malam hingga bengkak kakinya. Imam At-Tarmizi meriwayatkan, daripada Al-Mughirah bin Su’bah berkata:

Maksudnya;

“Rasulullah SAW menunaikan solat hingga bengkak kedua kaki Baginda. Dikatakan kepada baginda, apakah sebab kamu menyusahkan diri kamu ini, sedangkan kamu telah diampunkan dosa yang telah lepas dan yang akan datang. Berkata Baginda SAW, apakah tidak aku menjadi hamba yang bersyukur?”

Rasulullah bersabda maksudnya:

“Sesungguhnya Allah berfirman: “Sesiapa yang memusuhi kekasih-Ku, maka sesungguhnya Aku mengisytiharkan perang dengannya. Tidak ada perkara yang paling Aku sukai dilakukan oleh hamba-Ku untuk mendekatkan diri kepada-Ku selain daripada dia melakukan apa yang Aku fardukan ke atasnya. “Dan sentiasalah hamba-Ku itu menghampirkan dirinya kepada-Ku dengan melakukan amalan yang sunat hingga Aku kasihkannya. Maka apabila Aku telah kasihkannya, maka Akulah pendengaran yang dia mendengar dengannya, penglihatan yang dia melihat dengannya, tangan yang dia menghulur dengannya dan kaki yang dia berjalan dengannya. Jika dia meminta dari-Ku, akan Ku berikan apa yang dipintanya. Dan jika dia memohon perlindungan, pasti akan Ku lindunginya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Ramadhan juga hendak menebalkan rasa berdosa lalu segera memohon keampunan daripadaNya.

Kedatangan Ramadhan adalah bertujuan menghidupkan hati yang mati sebelumnya. Moga-moga kesan sebulan menghidupkan hati mampu kita pertahankan untuk 11 bulan berikutnya. Dan kemudian apabila Ramadhan menjengah lagi pada tahun berikutnya, kita mampu untuk menghidupkan semula hati yang mulai mati… lalu kita atur semual strategi untuk mempertahankannya semula untuk tahun yang berikutnya… Itulah cara terindah ALLAH ciptakan untuk manusia2 hina seperti kita yang seringkali lalai dan leka.

Bagi orang yang bertaqwa, jiwanya pasti hidup setiap masa, kerana cinta dijiwanya tak pernah pudar, dan kehambaannya tak pernah berbelah bagi.

Buat kita hamba yang hina-dina ini, jika hadirnya Ramadhan masih tidak mampu mendidik jiwa dan hati, maka di manakah hendak kita letakkan diri di sisi Ilahi?


Wassalammualikum..

1 comments:

Akhelaken said...

Assalamualaikum. Singgah sini di pertengahan Ramadhan, Nice sharing!

Post a Comment