Jin

My photo
"يا الله، اكو مموهون كڤد-مو اونتوق منچينتاي-مو، منچينتاي سياڤا سهاج يڠ منچينتاي-مو، سرتا منچينتاي ڤربواتن يڠ مڠهانتركن داكو اونتوق منچينتاي-مو."- نبي داود اس

Mengemis Pertemuan yang Dicintai

Saturday, March 20, 2010

Bismillahirahmanirahim..

Katakanlah: Sesungguhnya Aku Ini manusia biasa seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku: "Bahwa Sesungguhnya Tuhan kamu itu adalah Tuhan yang Esa". barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, Maka hendaklah ia mengerjakan amal yang saleh dan janganlah ia mempersekutukan seorangpun dalam beribadat kepada Tuhannya". (Surah Al-Kahfi: 110)

Dalam ayat ini, Allah s.w.t. memberitahu kepada Rasulullah s.a.w. bahawasanya, di sebalik kemanusiaan Baginda s.a.w. seperti yang dapat dilihat oleh mata kasar seseorang manusia, Baginda s.a.w. juga membawa hakikat kenabian dan kerasulan yang hanya boleh dilihat dengan mata hati melalui suluhan hidayah Allah s.w.t. dengan kanta keimanan.

Abu Jahal, Abu Lahab dan para musyrikin hanya melihat Nabi s.a.w. sekadar seorang manusia biasa, kerana terperangkap dengan pandangan mata zahir dalam masa yang sama, buta mata hati mereka kerana keegoan mereka dan ujub mereka terhadap diri mereka sendiri. Ini membuatkan mereka membandingkan kemanusiaan diri mereka dengan kemanusiaan Nabi s.a.w. sehingga melupakan sudut kenabian Nabi s.a.w. yang hanya dapat disaksikan dengan keimanan hati.

Saidina Abu Bakar r.a., Saidina Umar Al-Khattab r.a. dan para sahabat r.a. melihat di samping kemanusiaan Rasulullah s.a.w., mereka juga melihat ada suatu sudut yang lebih berharga, bahkan sudut tersebut merupakan rahmat buat seluruh alam, iaitulah sudut kerasulan Nabi Muhammad s.a.w.. Rasulullah s.a.w. adalah manusia yang membawa pesanan dari Allah s.w.t. buat seluruh manusia, lalu bahagialah mereka yang mengakuinya lalu mengikutinya serta celakalah bagi mereka yang mendustainya.

Antara pesanan Ilahi yang disampaikan oleh Nabi s.a.w. kepada seluruh manusia di dunia ini, adalah, "Sesiapa yang mengharapkan pertemuan dengan Allah s.w.t., maka beramallah dengan amalan yang soleh dan tidak mempersekutukan Allah s.w.t. dalam pengabdian".

Ini suatu mesej yang jelas, buat manusia yang menggunakan akal yang waras, dalam menjalani sebuah kehidupan yang penuh berasas, yang didirikan atas wawasan bernas, iaitu wawasan "mengharapkan pertemuan dengan Allah s.w.t., Tuhan sekalian alam yang tersergam luas".

Mengapa mesej ini hanya kepada mereka yang mengharapkan pertemuan dengan Allah s.w.t. semata-mata? Hal ini kerana, hanya orang-orang yang mengharapkan pertemuan dengan Allah s.w.t. sahaja yang sanggup melakukannya. Adapun selain daripada mereka yang mengharapkan pertemuan denganNya, maka biar mesej disampaikan sebanyak mana, namun mereka tetap memilih untuk tidak mengendahkannya.

Ini umpama mesej cinta, dari Maha Pencinta kepada mereka yang dianugerahkan cinta daripadaNya, kepadaNya, yang mana, mereka yang tidak merasainya, tidak memahami keagungan ini mesej cinta…

Sheikh Yusuf Al-Hasani berkata: "Sesiapa yang tidak menangisi kejauhan (daripadaNya), dan tidak mengharapkan pertemuan (denganNya), maka dia sememangnya tidak memahami bahasa cinta (kepadaNya)".

Sesiapa yang tidak mengharapkan pertemuan dengan seseorang, maka jelaslah tiada di hatinya akan cinta kepadanya. Hal ini jelas, kerana dalam bahasa cinta, semakin cinta, semakin mengharapkan pertemuan dan kebersamaan dengan sang kekasih yang tercinta.

Maka, Allah s.w.t. menyuruh wakilNya yang menjadi penghulu kepada para pencintaNya, untuk memberitahu kepada para pencintaNya, agar beramal soleh dan ikhlas dalam setiap amalan tersebut.

Ini menunjukkan bahawa, sesiapa yang mendakwa cinta kepada Allah s.w.t., namun tidak melakukan amalan soleh, maka dia adalah seorang pendusta. Benarlah kata sya'ir, sesungguhnya, yang mencintai itu akan mentaati yang dicintai".

Bahkan, sesiapa yang melakukan ketaatan dan amalan soleh, tetapi tidak ikhlas dalam amalan, maka dia juga seorang yang pendusta atas nama cinta. Bagaimana seseorang itu mencintai Allah s.w.t. tetapi melakukan ketaatan bukan keranaNya? Ini suatu dusta bahkan suatu kebiadaban yang nyata.

Oleh yang demikian, mesej ini mengajak manusia agar menanamkan cinta kepadaNya, sehingga meluap-luap di hatinya akan perasaan inginkan pertemuan denganNya, lalu merealisasikan syarat-syarat yang membawanya kepada pertemuan denganNya, iaitu dengan melakukan amalan soleh sekadar keupayaannya, dan ikhlaskan niat dalam setiap amalan yang dilakukannya, kepadaNya. Semoga Allah s.w.t. membantu kita dalam mentaatiNya dan membantu kita dalam mengharapkan pertemuan denganNya.

Wallahu a'lam…

2 comments:

Ameen Muslim said...

semoga tumbuh segar kecintaan kita kpd ALLAH SWT. ameennnn ya RABB! nice entry!

Jin said...

salam... ameen~

Syukran sahabat.. :)

Post a Comment