Jin

My photo
"يا الله، اكو مموهون كڤد-مو اونتوق منچينتاي-مو، منچينتاي سياڤا سهاج يڠ منچينتاي-مو، سرتا منچينتاي ڤربواتن يڠ مڠهانتركن داكو اونتوق منچينتاي-مو."- نبي داود اس

Hati Manusia..

Saturday, November 14, 2009

Setiap manusia adalah makhluk yang diciptakan. Sama seperti binatang, sama seperti tumbuhan, sama seperti alam semesta dan lain-lain ciptaanNya. Tetapi yang membuatkan manusia ini satu makhluk yang istimewa dan unik adalah hatinya. Kerana hatinya, manusia mampu membuat pilihan, satu keistimewaan yang tidak diberikan kepada makhluk lain.

Ada hati yang menghadapi dunia dengan kelembutan, dan ada yang menghadapi dengan hati yang keras. Ada yang perlu berkeras dengan hatinya untuk melakukan perubahan, dan ada juga yang perlu berlembut dengan hatinya untuk membuat perubahan. Ada yang terpaksa mengeraskan hati untuk berteguh hati, dan ada juga yang meneguhkan hati dengan berlembut dan berlapang dada. Ada juga yang bila berkeras hati utk berubah, menjadi semakin teruk dan bila diuruskan dengan lembut, perubahan itu lebih berkesan. Dan juga sebaliknya. Semuanya bergantung kepada apa yang telah diisikan ke dalam hatinya sepanjang manusia itu hidup.

Tetapi aku memandang, hati itu memerlukan kedua-duanya. Perlunya memujuknya dengan penuh kelembutan dan hikmah, dan kadang-kala perlu juga dipukul keras dan dengan hikmah juga. Manusia mana yang tidak sukakan kelembutan. Manusia mana yang tidak tersentuh apabila orang lain melayani mereka dengan penghargaan, kelembutan, ambil berat, kata-kata dorongan, motivasi, sangkaan baik dan sebagainya. Namun kadangkala, hati manusia itu keras, dan memerlukan juga ditegur, dimarahi, diketuk hatinya agar kembali lembut, sesuai dengan cara yang Islam anjurkan.

Dan, aku memilih untuk belajar dan memiliki hati yang lembut berbanding dengan memiliki hati yang keras, agar hati ini sentiasa menangis kerana TuhanNya, agar hati ini sentiasa takut kepada TuhanNya, agar hati ini sentiasa bergetar apabila disebutkan ayat-ayat TuhanNya, agar hati ini sentiasa tunduk kepada TuhanNya. Dan hakikatnya, aku masih jauh dari semua itu. Dan aku lebih gemar dengan istilah ‘meneguhkan hati’ untuk melakukan berubah daripada istilah perlu ‘berkeras sedikit’ dengan diri sendiri untuk berubah. Nampak lebih mudah untuk aku fahami dan terima. :) Wallahu’alam.

“Ya Allah, anugerahkanlah kepada kami hati selembut Abu Bakar dan hati sekeras Umar”. Segala yang benar itu datang dari Allah, dan yang salah itu datang dari kelemahan aku sebagai manusia. Sekian. :)

1 comments:

kim_HasNuL said...

tul bro.. dgn ati jugak kte dew mcm2 perasaan.. suke, mrh, sdey, dan mcm2 la.. byk klu nk senaraikn pn.. huhu.. tp kdg kala trase lbh baik xdew hati.. tp hati adlah sngat brharga... thanks to Allah..

Post a Comment